Menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan berkenaan kemaskini tabung kesan sampingan susulan imunisasi, AEFI pada minggu depan.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan yang bertanyakan sama ada terdapat sebarang pembayaran pampasan dibuat, dan berapa banyak yang telah disalurkan setakat ini.
Minggu lalu, Khairy berkata, menerusi kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI), hanya 20.7 daripada 1,000 dos yang diberikan mempunyai reaksi ringan.
“Daripada bermulanya program vaksinasi sehingga 30 Ogos 2021, sebanyak 34,455,366 juta vaksin telah diberi. Kadar keseluruhan laporan yang diterima pula adalah 0.53 daripada 1,000 dos.
“Daripada jumlah ini, 0.04 daripada 1,000 dos dikategorikan sebagai AEFI serius,” katanya.
Untuk rekod, pada Mac lalu, kerajaan bersetuju memperuntukkan bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin Covid-19 untuk rakyat tempatan dan warga asing berjumlah RM10 juta yang memperolehnya melalui PICK.
Menteri kesihatan ketika itu, Adham berkata, peruntukan itu membabitkan dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima yang menerima kesan sampingan serius dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin Covid-19.
“Bantuan khas kewangan itu bagaimanapun perlu dinilai terlebih dahulu oleh tiga jawatan kuasa khas yang turut ditubuhkan.
“Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan bayaran bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin,” katanya.
Walaubagaimanapun, setakat ini data mengenai tuntutan atau pembayaran tabung tersebut tidak diketahui kerana tidak pernah didedahkan kementerian kesihatan. -Buletin TTKM-