Berita palsu anti-vaksin: Khairy gesa laporan polis/SKMM dibuat terhadap @Khalids

PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengarahkan satu laporan polis dan SKMM dibuat terhadap seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @khalids susulan penyebaran maklumat palsu berkenaan vaksin Covid-19.

Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Twitternya berkata ada masanya mendidik, tetapi ada juga masa untuk menegakkan undang-undang.

“Saya telah meminta laporan dibuat terhadap @khalids kepada PDRM dan SKMM kerana menyebarkan berita palsu mengenai vaksin Covid-19. Cukuplah berbohong,” ciapnya.

Ciapan Khairy itu adalah susulan satu ciapan dari seorang wanita yang menafikan data yang dinaikkan Khalids yang mendakwa ayahnya meninggal dunia kerana mengambil dos vaksin.

“Data ni salah! Arwah ayah saya meninggal bukan disebabkan vaksin. Data hanya diambil melalui media sosial, tanpa sebarang pertanyaan atau minta izin dari ahli keluarga. Kemudian, sendiri menganggap ayah saya meninggal sebab vaksin. Ini sudah berlebihan” kata pengguna twitter Yaya @IntanFaziera5. Ciapan beliau itu diciap semula oleh Khairy.

Tambah Yaya lagi, ayahnya meninggal disebabkan tiga saluran darah ke jantung tersumbat.

“Kebetulan ayah saya ambil dos pertama dua bulan lepas , kemudian mereka terus menganggap ayah saya meninggal kerana vaksin?” soalnya.

“Logikkah ketiga-tiga saluran darah tu tersumbat dalam masa 2 bulan sahaja? Sebenarnya, benda ni dah lama tapi tak sedar sebab ayah saya tidak ada sebarang tanda yang dia sakit jantung. Semua ini jadi secara tiba-tiba. Ajal m@ut rahsia Allah. Kami redha Allah pinjamkan papa kejap je” tambahnya lagi.

Sementara itu, semakan Buletin TTKM di akaun twitter Khalids mendapati kini ia tidak dapat diakses dipercayai telah dinyahaktif sebaik sahaja dipetik Khairy. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.