“Ini masa sesuai UMNO kerjasama dengan DAP” – Idris Haron

Melaka, 8 Oktober: Bekas adun Sungai Udang, Dato Seri Idris Haron berkata sekarang ini merupakan masa yang sesuai untuk UMNO bekerjasama dengan DAP yang mewakili masyarakat Cina.

Beliau yang juga bekas ketua menteri Melaka itu turut berkata usaha integrasi UMNO yang mewakili orang Melayu dan DAP ini akan mendapat satu horizon baru dalam politik negara.

Tambahnya lagi, Orang Melayu tidak menerima DAP disebabkan momokan yang dilakukan “oleh kita juga”.

“Kita beritahu DAP ini sosialis dan sebagainya. Cerita dia (DAP), kita pun tak betulkan juga. Kalau tak dapat terima dan kita hilang perhubungan, buat apa? Kita terima MCA, tapi MCA tidak bantu pun” katanya.

Beliau turut berkata kerjasama dengan DAP ini adalah praktikal ketika ini oleh kerana DAP pernah perintah negara (ketika pemerintahan Pakatan HArapan), oleh itu mereka mesti belajar dari kesilapan.

“Masa itu nak buat secara drastik mungkin tak sesuai, tapi hari ini Melaka boleh diberi peluang membuktikan kalau Perdana Menteri ambil berat mengenai Keluarga Malaysia.

“Melaka yang didiami 60 % Melayu, 30% Cina dan 10% India akan menjadi lapangan terbaik untuk konsep Keluarga Malaysia atau Kerajaan Perpaduan Keluarga Malaysia” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara dengan akhbar Utusan Malaysia semalam.

Pada perkembangan yang sama, beliau yang baru dipecat Umno tidak menolak kemungkinan menyertai Pakatan Harapan (PH) dan menjadikan gabungan pembangkang itu sebagai salah satu pilihan sedang dipertimbangkannya.

Beloiau turut memberikan bayangan kesediaannya menggalas jawatan ketua menteri baru jika dia menjadi calon pilihan PH, lapor Malaysiakini.

“Namun jika mereka (PH) memilih saya, ia mungkin kerana menepati standard kualiti yang diharapkan oleh mereka, bukan dengan hanya ditunjuk-tunjuk dan menjadi budak suruhan,” katanya.

Beliau sebelum ini mendakwa bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sering mengikut arahan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebelum membuat sebarang keputusan.

Pun begitu Idris berkata selepas dipecat Umno dia masih belum menyertai mana-mana parti politik dan kekal bebas buat masa ini.

“PH adalah satu option (pilihan), dan ramai pemimpin parti menghubungi saya bertanya khabar dan berita.

“Sama-samalah kita tunggu. Biarlah kemelut ini selesai dahulu,” katanya.

Kerajaan bersilih ganti.

Pada PRU 14 lepas, Pakatan Harapan memenangi DUN Melaka dengan memperoleh 15 kerusi (DAP:8, PKR;3, Amanah:2, Bersatu :2) berbanding BN melalui UMNO dengan 13 kerusi.

Walaubagaimanapun, pada 2 Mac 2020, kerajaan tersebut tumbang apabila 2 adun Bersatu, masing-masing satu dari PKR dan DAP keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama 13 adun UMNO.

Kerajaan itu pula tumbang 4 hari lalu apabila dua adun UMNO, seorang Bersatu dan seorang lagi Bebas mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan tersebut pimpinan ketua menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Rentetan itu, Sulaiman mengesyorkan kepada TYT Melaka, Tun Ali Rustam supaya DUN dibubarkan, dimana ia dipersetujui.

Mengikut undang-undang tubuh negeri, pilihanraya negeri perlu diadakan dalam masa 60 hari setelah ia dibubarkan. -Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.