Mulai esok boleh rentas negeri – PM

Perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan perjalanan merentas negeri akan dibenarkan bermula esok.

Katanya, keputusan itu diambil selepas negara mencapai kadar 90 peratus vaksinasi bagi populasi dewasa.

“Alhamdulillah, menurut KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. 

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula esok,”

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya lagi, dengan keputusan ini rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya.

Namun beliau mengingatkan agar rakyat tidak bersikap sambil lewa terhadap jangkitan Covid-19 dengan kelonggaran yang diberikan.

“Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

“Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 ini akan kembali meningkat. 

“Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19,” jelasnya.

Jelasnya, walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR bagi mengawal jenayah dan keselamatan masih diteruskan.

“Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Saya juga ingin menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” tambahnya. -Buletin TTKM –

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.