KUALA LUMPUR, 12 Oktober: Polis akan terus mengeluarkan kompaun terhadap individu yang belum lengkap divaksinkan yang didapati melakukan aktiviti rentas negeri serta ingkar mematuhi SOP yang ditetapkan dalam menangani pandemik COVID-19.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan tegas terus diambil terhadap mereka jika didapati gagal mematuhi arahan berkenaan.
Beliau memberitahu, pemantauan akan dilakukan di lokasi tumpuan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi.
“Kerajaan sudah mengumumkan individu yang mahu merentas negeri perlu lengkap divaksin. Polis tidak lagi memberi amaran sebaliknya akan terus mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal mematuhi arahan itu,” katanya pada Isnin lapor Berita Harian.
Hazani memberitahu, pemantauan akan dilakukan di kawasan rehat dan rawat (R&R), pusat beli-belah dan lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia yang menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Isnin.
Berikutan itu, sekatan jalan raya di seluruh negara ditutup bermula tengah malam semalam.
Pelbagai pihak melahirkan kebimbangan golongan yang belum lengkap vaksin, atau tidak divaksinkan akan menggunakan kesempatan itu untuk merentas negeri. -Buletin TTKM-