Polis rampas kereta kerajaan negeri digunakan YB Beliau.

Melaka 13 Oktober: Polis merampas sebuah kenderaan rasmi kerajaan negeri yang sebelum ini didakwa enggan dipulangkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee atau lebih dikenali sebagai YB Beliau.

Kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam itu dirampas pasukan polis di sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak, jam 11.20 pagi semalam, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, rampasan itu dibuat pihaknya susulan laporan polis diterima membabitkan salah guna kenderaan rasmi kerajaan negeri secara tidak jujur.

Beliau berkata, laporan polis dibuat oleh seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengatakan kenderaan terbabit tidak dipulangkan.

“Semalam, polis membuat permohonan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi mengeluarkan waran geledah untuk mengesan dan merampas barang kes.

“Susulan itu sepasukan polis merampas Toyota Camry terbabit bersama anak kunci kereta, kad Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Datuk Norhizam,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini seramai lima saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Mereka ini terdiri daripada kakitangan pejabat (SUK) dan lebih ramai saksi yang akan dipanggil termasuk Datuk Norhizam.

“Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengetahui bagaimana kereta itu boleh diletakkan di lokasi itu dan apa kaitan dengan pemilik lot tempat letak kereta,” katanya.

Abdul Majid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang menyatakan sesiapa dengan curang menyalahgunakan atau menjadikan bagi kegunaan sendiri atau menyebabkan mana-mana orang melupuskan apa-apa harta boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat serta denda.

Pada ahad lepas, , Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata beliau tidak akan memulangkan kenderaan rasmi selagi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tidak menganjurkan program khusus penyerahan kenderaan semua EXCO di negeri ini.

Beliau menegaskan, SUK harus menganjurkan program berkenaan dengan semua EXCO, termasuk yang masih berkhidmat dalam kerajaan sementara (caretaker) menyerahkan kenderaan masing-masing.

Beliau mendakwa, selain beliau dan bekas EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron dan bekas EXCO di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Teknologi negeri), Datuk Noor Effandi Ahmad, tujuh lagi EXCO dalam kerajaan sementara harus berbuat perkara sama.

Mereka ialah EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan) dan Datuk Latipah Omar (Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan).

EXCO lain ialah Datuk Roslan Ahmad (Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur), Datuk Ismail Othman (Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Badan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan Sukan) dan Datuk Rahmad Mariman (Kesihatan dan Antidadah).

“Saya tidak gunakan kenderaan rasmi itu, saya simpan kerana saya ada kereta saya sendiri tetapi saya mahu keadilan kerana apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu, sudah tidak ada kerajaan negeri lagi.

“Siapa yang lantik kerajaan sementara (caretaker)? Saya tidak iktiraf kerajaan sementara itu kerana (Speaker DUN, Datuk Seri Ab) Rauf (Yusoh) lantik (Ketua Menteri, Datuk Seri) Sulaiman Md Ali jadi caretaker,” katanya tadi.

Semua EXCO Melaka menggunakan kenderaan rasmi Toyota Camry. Idris dan Noor Effandi dilaporkan sudah mengembalikan kenderaan itu.

Sehubungan itu, Norhizam meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad supaya menganjurkan program penyerahan kenderaan rasmi semua EXCO terbabit dan menjemput media membuat liputan.

“Saya mahu semua media hadir ambil gambar saya dan EXCO lain serahkan kereta masing-masing, barulah adil,” katanya.

Sulaiman dilaporkan meminta Norhizam mengembalikan kenderaan itu kerana beliau sudah meletak jawatan.

Selain itu, Norhizam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu juga terbabit bersama-sama Idris dan Noor Effandi serta bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan menarik sokongan kepada Sulaiman pada 4 Oktober lalu.

Tindakan mereka menyebabkan Kerajaan Barisan Nasional kehilangan majoriti dalam DUN Melaka selepas membentuk kerajaan negeri pada Mac 2020. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.