Zahid arah keluar wang Yayasan Akalbudi untuk anak perempuan beli saham hotel – Timb Pendakwaraya

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan sebahagian daripada wang deposit tetap berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan bagi membolehkan anak perempuannya membeli saham hotel butik di Bali, Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berhujah bahawa tertuduh diamanahkan dengan dana Akalbudi bagi tujuan spesifik iaitu membasmi kemiskinan dan menaikkan kebajikan fakir miskin, selain menjalankan kajian serta penyelidikan, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Raja Rozela berkata, tertuduh memberi arahan spesifik supaya kesemua wang daripada tujuh akaun deposit tetap Akalbudi, dikeluarkan sebelum memindahkannya menerusi cek bank kepada Tetuan Lewis & Co.

“Individu yang berminat untuk membeli hotel berkenaan adalah anak perempuan tertuduh dan perkara itu disahkan oleh Tan Sri Rashid and Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Mohd Shaheen,” katanya.

Raja Rozela kemudian bertanya: “Bagaimana menguruskan butik hotel di Indonesia membantu rakyat miskin di negara ini?”

“Dana dalam akaun Akalbudi digunakan untuk keuntungan peribadi tertuduh di mana Akalbudi tidak mempunyai sebarang hubungan atau kepentingan.

“Bagi pengeluaran dana daripada tujuh akaun deposit tetap, cek bank RM17.9 juta itu dibayar kepada Lewis & Co,” katanya.

Raja Rozela berkata, perkara itu sepatutnya sudah dilihat sebagai amaran.

“Kenapa dana itu dipindahkan, sedangkan tiada rekod yang menunjukkan bahawa Tetuan Lewis & Co bertindak untuk Akalbudi?

“Oleh itu, pendakwaan berhujah bahawa tujuan sebenar pengeluaran deposit tetap RM17.9 juta adalah bagi memudahkan anak perempuan tertuduh membeli hotel di Bali,” katanya.

Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan bersambung Isnin ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasportnya buat sementara bagi tujuan rawatan perubatan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah  membenarkan permohonan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO untuk ke Munich, Jerman bagi rawatan sakit tulang belakang.

Bagaimanapun Collin turut memerintahkan pasport berkenaan dikembalikan kepada mahkamah pada 21 November ini.

Selain itu, hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu dua orang penjamin perlu dikemukakan oleh tertuduh.

“Saya membenarkan permohonan ini dengan meletakkan syarat tambahan dengan menambah seorang lagi penjamin. Tujuan pemulangan sementara pasport ini hanya untuk pembedahan dan dikhususkan untuk perjalanan ke Jerman,” katanya -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.