Kontrak CEO LHDN ditamatkan

Putrajaya, 18 Oktober: Kontrak perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Seri Dr Sabin Samitah ditamatkan berkuat kuasa esok.

LHDN dalam satu kenyataan ringkas petang ini memaklumkan, pemendekan kontrak itu mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.

“Pemendekan kontrak perkhidmatan ini juga dipersetujui oleh Datuk Seri Dr Sabin Samitah bagi membolehkan beliau menceburi bidang lain yang bersesuaian dengan minat beliau.

“LHDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Sabin Samitah atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di LHDN dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya.

Sabin yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif badan itu berkuat kuasa 12 Disember 2016 menggantikan Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar yang tamat kontrak.

Datuk Seri Najib Razak pada 8 September lepas membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas menerima maklumat pegawai LHDN menerima tekanan dari ahli politik mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.

“Sudah tentu ini menggusarkan kerana tindakan itu lanjutan daripada arahan ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan serta asas undang-undang.

“Malah, ini membuang masa banyak pihak terutama diri saya sendiri dan jelas tindakan itu menyalahgunakan kuasa,”

Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa menerima maklumat mengenai denda cukai tambahan yang dikenakan terhadap dirinya

“Ada yang datang menemui saya dan memohon maaf serta memberitahu kes cukai tambahan RM1.7 bilion ini sebenarnya disiasat tiga kali sejak tahun 2018.

“Mereka sendiri akui, selepas tiga kali siasatan dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan dan tiada penalti cukai patut dikenakan.

“Tidak cukup dengan itu, arahan juga diterima oleh mereka untuk tidak membenarkan kes saya dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) untuk mempertikaikan keabsahaan pengiraan LHDN untuk rayuan,” kata beliau di laman facebooknya.

Dalam laporan polis itu, Najib “membuat laporan terhadap ketua pengarah dan pegawai-pegawai yang turut bersubahat dalam LHDN” kerana beliau percaya beberapa kesalahan telah dilakukan berkaitan dengan peningkatan jumlah taksiran cukainya pada 20/3/2009 dan juga terhadap ahli keluarganya.

Dalam satu kenyataan lain, LHDN mengumumkan Mohd Nizom Sairi, timbalan CEO (operasi cukai), akan mengambil alih kedudukan Sabin mulai esok dan seterusnya.

Nizom, 58, mempunyai ijazah sarjana dari Lawrence Technological University di Amerika Syarikat dan mula berkhidmat di LHDN dari tahun 1985.

Sebelum menjadi timbalan CEO, dia juga pernah berkhidmat sebagai pengarah jabatan penyiasatan LHDN, jabatan pematuhan cukai, akademi cukai Malaysia dan LHDN Perak dan pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengarah) seblum ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.