Kenapa Whisky Timah tiba-tiba menjadi isu besar?

Oleh Dr Wong Chin Huat

Whisky Timah tiba-tiba menjadi isu besar seolah-olah ini menggugat Malaysia, Melayu atau Muslim. Tidak hairan kalau ada yang menyangka bahawa lelaki berjanggut lebar itu seorang Melayu atau Muslim dan Timah ini adalah konspirasi untuk mengaitkan umat Melayu-Muslim dengan arak.


Tiada sebarang teori konspirasi di sini. Lelaki ini bernama Tristram Charles Sawyer Speedy, lebih dikenali sebagai Captain Speedy. Dia bukan Muslim dan tiada darah Melayu. Dia memang berjanggut panjang. Dia pernah berkhidmat di Peshawar (Barat laut Pakistan hari ini) dan Ethophia.


Apa perkaitannya dengan Semenanjung Malaysia dan timah? Dia berkhidmat di Straits Settlement dan telah ditugaskan untuk membawa keamanan di kawasan perlombongan TIMAH di Larut sekitar Taiping selepas Perjanjian Pangkor mengakhiri Perang Larut. Sebagai Pembantu Residen di Larut, beliau bekerjasama dengan pembesar Melayu seperti Orang Kaya Mantari Ngah Ibrahim (gambar).


Bacalah sendiri pengenalan di laman sukarelawan Museum Negara. https://museumvolunteersjmm.com/2020/11/05/captain-speedy/ Harap tidak ada pihak yang kemudian menuntut bahawa rencana ini juga diharamkan.


Jadi, tiada sebarang konspirasi untuk menghina Islam, umat Muslim atau kaum Melayu. Penggunaan Timah sebagai jenama, dan bukan Tin, menggambarkan sejarah di Taiping. Bukankah kita ingin Bahasa Melayu diperluaskan kegunaannya? Ataupun Bahasa Melayu menjadi hak umat Muslim dan tidak boleh digunakan jika ada mana-mana Muslim yang rasa tersinggung.


Ini membawa kepada soalan lebih lanjut tentang apa yang harus diharamkan dan harus dibenarkan di bawah kanca Islamis. Sememangnya arak adalah haram untuk Muslim dan ini telah diperkanunkan dalam undang-undang. Tetapi untuk agama-agama dan budaya-budaya yang lain, ada yang haram, ada yang makruh, ada yang menghargainya sebagai kenikmatan atau warisan.


Jadi, Muslim tak minum, apa salahnya bukan Muslim minum? Apa salahnya Malaysia ada kilang memproses arak dan beer? Kenapa ada Muslim yang mesti melihatnya kewujudan arak dan beer sebagai menjolok mata? Pandanglah ke arah lain kalau rasa jolok mata. Jangan menjaga tepi kain orang lain. Bukankah “untukmu agamamu, untukku agamaku”? Bukan dunia ini dikongsi oleh kita semua dan Rahmat Allah juga untuk semua? Kalau Rahmat adalah untuk Muslim sahaja, ia seharusnya “Rahmatan lil Muslimin” dan bukan “Rahmatan lil Alamin”, betul? Dan kalau Allah hasratkan, sudah tentu semua umat manusia boleh diwujudkan beragama sama, berbahasa sama dan tiada perbezaan untuk kita “saling mengenali”?


Saya fahami ketidakpuasan sebahagian penyokong Amanah/PH apabila bila PAS cakap tidak serupa bikin. Kalau ini berlaku di bawah PH, sudah tentu menteri agama Dr Mujahid Rawa akan dibidas dan dicaci sekuat-kuatnya. Maka, mereka sekarang ingin menyusahkan menteri agama PAS Idris Ahmad untuk menunjukkan kegagalannya.
Akan tetapi, mereka harus diingatkan tentang “hasil yang tidak dihasratkan” (unintended consequences) tindakan mereka ini.


Pertama, mereka seperti PAS dahulu menonjolkan imej Islam yang menjaga tepi kain orang dan bukan Islam yang menghormati perbezaan di kalangan umat manusia, seperti yang diberi teladan oleh Rasulallah di masyarakat majmuk Medina. Adakah mereka ingin membantu Islamophobia di seluruh dunia dan menghalalkan penindasan minoriti Muslim di sesentengah negara yang lain?


Kedua, adakah serangan sebegini menguntungkan Amanah atau PH? Kawasan dimenangi Amanah berada di pantai barat dan kebanyakannya bermasyarakat majmuk sebaliknya PAS cuba memenangi kawasan parlimen Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Adakah serangan sebegini akan menghakis sokongan PAS di kawasan Melayu lebih daripada menghakis sokongan Amanah/PH di kawasan majmuk?


Lebih-lebih lagi, kalau PH menang semula dan menteri agama dipegang Amanah lagi, tidak akan puak PAS membalas dendam dengan lebih banyak serangan? Mungkinkah kerajaan majmuk PH melaksanakan larangan yang dituntut oleh puak Amanah hari ini tanpa menghakis asas sokongannya? Kalau tidak, bukankah ini cuma akan melemahkan menteri agama Amanah pada masa depan?


Saya bersimpati dengan kemarahan penyokong Amanah/PAS tentang hiprokrisi ataupun perubahan arah selepas memegang kuasa di Persekutuan. Akan tetapi, sememangnya lumrah bila parti pembangkang menjadi sederhana dan lembut setelah memegang kuasa untuk memerintah, kerana mereka dapat menunjukkan kebolehan untuk mentadbir dan mengatasi cabaran, dan tidak perlu menonjolkan ketegasan untuk membantah dan menghebohkan masalah.
Sebab itu, perubahan tampuk pemerintahan – tak kira parti mana – adalah bagus daripada satu segi: ia mematangkan parti. Membangkang itu senang, memerintah itu susah.


Seharusnya penyokong Amanah/PH harus meraikan perubahan PAS ke arah pragmatisme dan kesederhanaan dan menyambut baik PAS mencontohi politik sederhana Amanah, dan bukan memaksa PAS ke jalan lama yang akhirnya cuma akan mengkurungkan Amanah sendiri bila PH menang.


Saya mendoakan kebijaksanaan dan kelapangan dada untuk semua pihak. Sekali air bah, sekali tebing berubah. Taksub dengan tebing lama itu cuma akan mengurungkan diri. -Buletin TTKM-


Artikel ini pertama kali disiarkan di laman facebook Dr Chin-Huat Wong 黃進發. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM- Editor

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.