PRN Melaka: “Kita akan bertanding tiga penjuru” – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata PN telah membuat keputusan akan bertanding tiga penjuru pada pilihanraya negeri Melaka 20 November 2021 ini.

Katanya, ini berikutan sikap UMNO yang masih belum memberikan sebarang kata putus menyebabkan urusan pembahagian kerusi dalam kalangan komponen terganggu.

“Saya kata kita tidak boleh tunggu lama-lama, kita harus buat keputusan. Saya kira jika pihak di sana (UMNO) setakat hari ini tidak menunjukkan apa-apa petanda sama ada mereka bersedia untuk bekerjasama, berunding ataupun berbincang.”

“Justeru, saya kata hari ini kita buat keputusan, kita akan bertanding tiga penjuru. Ini ketegasan kita kerana kita mesti buat keputusan begitu dalam usaha hendak mengatur strategi menghadapi PRN.

“Kenapa kita masih belum buat sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi dalam PN? Sebab kita nak menunggu. Sampai bila kita nak menunggu dalam kita menunggu nanti dia (UMNO) sudah buat persiapan. 

“Saya cukup berpengalaman dalam menghadapi pilihan raya kalau kita tetap menunggu sudah tentu usaha dan gerak kerja kita akan terhalang, ahli akar umbi akan jadi tidak tentu arah” 

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Perikatan Nasional di Ayer Keroh, di sini hari ini, lapor Utusan Malaysia.

Turut hadir Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa, UMNO dan BN belum memuktamadkan keputusan sama ada wujud kerjasama dengan PN atau tidak.

Katanya, keputusan akan dibuat selepas mesyuarat Biro Politik, Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN awal bulan depan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO atas dasar penyatuan ummah, tetapi agak menghampakan kerana tempoh masa terlalu lama diambil tanpa sebarang keputusan.

Sehubungan itu, jelasnya, Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah bersetuju dan bersedia untuk menghadapi saingan dua atau tiga penjuru.

Tambahnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memberikan persetujuan pada pertemuan baru-baru ini, diketuai Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk parti itu bergerak bersama PN menghadapi PRN, 20 November ini.

“Kalaulah di Melaka adalah tempat, gelanggang dan lapangan, kita (Bersatu, Pas dan Gerakan) akan bertanding atas tiket PN dan menggunakan simbol PN,” ujarnya.

Pada perkembangan yang sama, Pakatan Harapan pula melantik saudara Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya Pakatan Harapan Melaka bagi menghadapi PRN Melaka.

Dalam satu kenyataan, majlis presiden PH memutuskan bahawa Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon Pakatan Harapan dalam PRN Melaka nanti. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.