“Tian Chua pemimpin senior tapi idea dangkal” – Setiausaha AMK

ULASAN : 21 OKTOBER 2021
TIAN CHUA PEMIMPIN SENIOR, TAPI IDEANYA DANGKAL

Oleh : Syukri Razab, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Saya menyokong saranan beberapa pihak yang menegah Pakatan Harapan daripada membuat kerjasama dengan mana-mana individu yang pernah bersekongkol dengan pengkhianatan yang telah menyebabkan tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan beberapa negeri.

Tragedi ini bukan semata-mata soal hilang kuasa, tapi Pakatan Harapan dinafikan hak dan ruang untuk melaksanakan perubahan yang diimpikan oleh semua rakyat.

Namun muncul pula idea Tian Chua yang mencadangkan agar Keadilan perlu berkerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, cadangan Tian Chua ini tidak boleh dianggap remeh dan sudah semestinya akan menjadi topik perbincangan umum. Namun apa yang rakyat perlu tahu ialah cadangan beliau itu adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian parti.

Logik Tian Chua ialah, sekiranya sesuatu kerjasama itu boleh menyebabkan Pakatan Harapan menang, maka Pakatan Harapan wajar melaksanakan kerjasama berkenaan. Logik Machiavelli seperti yang dianuti Tian Chua ini bukanlah perkara baru. Semua strategi menjadi halal demi mencapai cita-cita yang diinginkan.

Maka tidak hairan bagaimana Tian Chua boleh berada dalam kartel Azmin Ali dalam Keadilan sebelum ini walaupun mantan Timbalan Presiden Keadilan itu banyak membuat hal yang menyusahkan parti.

Berdasarkan logik Tian Chua, asalkan kerjasama itu boleh membawa kemenangan, maka kerjasama itu perlu dijayakan. Persoalan yang mungkin belum difikirkan Tian Chua ialah, bagaimana pula jika kerjasama itu hanya membuka ruang untuk Keadilan atau Pakatan Harapan dikhianati lagi ?

Sedikit pelik bagaimana Tian Chua boleh terlepas pandang dengan risiko pengkhianatan setelah apa yang dilalui oleh Keadilan. Melainkan Tian Chua sendiri sebenarnya masih bersimpati dengan rakan-rakan baik beliau yang menjadi dalang Langkah Sheraton.

Mungkin kerana sudah terlalu lama dan larut dengan gaya politik ‘kartel’ maka Tian Chua tidak berjaya menilai strategi politik daripada perspektif rakyat biasa. Rakyat pasti akan kecewa dan marah sekiranya Keadilan melakukan perkara yang menyebabkan harapan rakyat dikhianati berulang kali.

Janganlah terlalu berkiblatkan kuasa dan kemenangan sehingga mengabaikan politik berteraskan nilai.

Justeru dengan penuh hormat, selaku anggota Keadilan yang jauh lebih muda daripada Tian Chua, saya memohon agar Tian Chua tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang hanya boleh merendahkan nilai Parti Keadilan Rakyat di mata umum.

Saya tidak berniat untuk menafikan hak Tian Chua untuk bersuara, tetapi memetik katanya Lincoln, Better to remain silent and be thought as a fool than speak out and remove all doubt atau dalam bahasa melayunya bermaksud, lebih baik berdiam dan disangka bodoh, daripada bercakap yang akhirnya mengesahkan kebodohan.

Sekian.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM- Editor



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: