Rembau, 25 Oktober: Seorang nenek berusia 80 tahun berjaya menawan puncak Gunung Datuk berketinggian 2900 kaki bersama anaknya, Esah Itam, 60 tahun, sabtu lepas.
Siti Zaharah Abdullah, dari Kampung Batu Putih berkata dia dan anaknya mula mendaki pada jam 2 petang dan selamat tiba di puncak gunung dua jam selepas itu pada 4 petang.

Menurutnya, sudah empat kali beliau mendaki gunung tersebut sebelum ini, kali pertama pada tahun 1950an.

Tambah Siti lagi, dia sudah berhajat untuk mendaki semula gunung tersebut dua bulan lepas.
“Aku memang ada sebut dua bulan sudah, siapa la nak bawak aku naik. Memang ada tersebut nak daki gunung” katanya.

Ditanya apakah sebab utama mendaki, Siti berkata dia nak lihat matahari terbenam di puncak Gunung Datuk tersebut .



Mengulas perasaannya apabila berjaya menawan puncak Gunung Datuk, Siti berkata dia sangat seronok.
“Oi seronoknya! Tapi nak pergi singgah gua tu tadi tapi tak boleh nak masuk. Gua apit-apit namanya”.
Menurutnya, terdapat tempayan di dalam tua itu di mana ada air sentiasa menitis dan ianya boleh diminum.

“Kalau kita masuk dalam, kalau nampak yang berjanggut, ha peluklah datuk tu. Dihujungnya ada tempayan besar, sentiasa ada air menitis. Ha, di situ air tu boleh diminum, rezeki kita” katanya.
Mengikut sejarah, puncak gunung ini pernah digunakan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, iaitu tokoh penting yang menyusun Adat Perpatih di Negeri Sembilan, sebagai lokasi berkumpul semua ketua adat dan pengisytiharan gelaran serta nama penyandang Datuk Lembaga Adat pada tahun 1372.
Ditanya bagaimana memiliki badan sihat, tidak bongkok pada usia 83 tahun, Siti berkata dia mengamalkan diet tidak memakan daging ayam.
“Saya tidak makan ayam. Cuma makan ikan dan sayur. Kalau (arwah) suami saya dulu nak makan ayam masak lemak, saya masak, tapi saya tak sentuh makan” tambahnya. Dia juga sering melakukan aktiviti kampung seperti mencangkul dan bercucuk tanam.
Walau bagaimanapun, Siti dan anaknya dibantu empat pendaki lain ketika hendak menuruni gunung tersebut kerana tidak membawa lampu penyuluh kepala (headlamp) .
Ketika selamat tiba di kaki gunung, dia sempat memberikan serangkap pantun kepada pendaki yang membantu:
“Tebang tebu beruas-ruas,
Belum makan berasa jemu,
Ku pandang cik adik-adik ni belum puas,
Nak ku ulang berasa malu” kata Siti.
-Buletin TTKM-