Kuala Lumpur, 26 Oktober: Gara-gara Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim menceritakan pengalaman beliau berbicara dengan seekor gajah dalam bahasa tamil, Dewan Rakyat menjadi kecoh.
Abdul Azeez berkata, terdapat seekor gajah yang telah hidup di hutan sejak 40 tahun lepas di Baling.
Bagaimanapun beliau berkata, akibat diserang bisul di kaki, gajah itu akhirnya keluar dari hutan, dan mula memakan hasil tanaman orang-orang kampung, hingga memaksakan tindakan terpaksa dilakukan.
“Pengalaman saya empat hari bersama gajah, saya namakan dia Awang Bukit Hijau. Gajah ini sangat istimewa, kerana setahu saya dia faham tiga Bahasa, satu cakap Tamil, kedua faham Bahasa Siam, dan ketiga faham cakap Myanmar.
“Hari ketiga, saya dapat tahu dia boleh faham, saya cakap Bahasa Tamil. Saya cakap, dan cuba tenangkan dia, akhirnya gajah itu mengangkat belalai dan tunduk, membolehkan saya beri ia makan tebu,” katanya lagi, sambil berkata gajah itu akhirnya berjaya ditangkap, dan dipindahkan ke Terengganu.
Ketika sedang berkongsi pengalamannya itu, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman bangkit dan meminta Abdul Azeez berkongsi apa yang dituturkan kepada gajah itu dalam bahasa tamil sehinggakan ia akur dan bertenang.
Abdul Azeez enggan berbuat demikian kerana tidak diberi ruang oleh Speaker, Azhar Harun. untuk bercakap bahasa lain di dalam dewan.
Walaubagaimanapun, Speaker kemudian memberikan kebenaran kepada Azeez.
“Kita kena dengar macam mana cakap tu” kata Azhar Harun,
Azeez kemudian berbicara dalam bahasa tamil selama 10 saat untuk menceritakan apa yang dituturkannya kepada gajah tersebut.
Tidak puas hati, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer kemudian bangkit menganggap perkara itu adalah memalukan, dan menghina masyarakat yang berbahasa Tamil.
“Saya minta YB Baling tidak mengulangi perkataan itu kerana ia menghina bahasa Tamil. Mengatakan beliau boleh bercakap dengan gajah menggunakan bahasa Tamil adalah sesuatu yang tidak logik langsung. Saya nak kata bod0h tak mahu, tapi kurang pandai, kurang bijak” kata Rayer.
Kekecohan berterusan selama lima minit sehinggakan speaker mengarahkan Rayer untuk keluar dewan selama 10 minit. – Buletin TTKM-
Video: