Anak Mat Sabu lepas, bebas tuduhan salah guna dadah

KUALA LUMPUR: Anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan Mahkamah Majistret terhadap Ahmad Saiful selepas membenarkan rayuan dikemukakan perayu, lapor Berita Harian.

Terdahulu, Sequerah dalam penghakimannya, berkata perayu dalam kes ini mempunyai hak untuk sampel ujian air kencingnya diambil sebanyak dua kali.

“Mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua sampel air kencing menyebabkan sabitan menjadi cacat,” katanya.

Sequerah berkata, Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) F103 memerlukan dua botol plastik kosong dan bersih untuk mengumpul air kencing daripada suspek yang disyaki menyalahgunakan dadah.

“Suspek perlu diberi pilihan untuk memilih dua botol berkenaan, salah satu botol bagi tujuan saringan pihak polis, manakala sampel kedua perlu dihantar ke hospital untuk pengesahan selepas botol pertama disahkan positif dadah.

Sebelum ini, peguam Datuk Nicholas Kow yang mewakili Ahmad Saiful berhujah, dalam kes itu pihak polis hanya mengambil satu sampel air kencing anak guamnya dan proses pengambilan sampel terbabit tidak mengikut peraturan serta terdapat percanggahan antara keterangan saksi pendakwaan berhubung sampel itu.

“Selain itu, terdapat kesilapan pada botol sampel air kencing itu dan kepincangan dalam rantaian penguasaan sampel terbabit, selain sampel disimpan terlalu lama sebelum diuji di makmal,” katanya.

Bagaimanapun, pendakwaan berhujah prosedur pengambilan sebotol sampel urin ke atas perayu (Ahmad Saiful) adalah memadai dan teratur mengikut undang-undang.

Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama yang mensabitkannya atas kesalahan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara lapan bulan.

Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pada 13 Jun 2019, Ahmad Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan menggunakan dadah THC, di sebuah hotel di sini, jam 2.05 pagi, pada 5 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan bermula 15 Oktober 2019, pendakwaan memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan, manakala pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh.

Menurut laporan media, pada 6 Januari 2019, Ahmad Saiful dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Anak ketiga Mohamad itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam.

Pada April 2019, Mat Sabu yang ketika itu merupakan menteri pertahanan berkata beliau menyerahkan kes anaknya itu kepada pengamal undang-undang negara ini yang bertanggungjawab ke atas pendakwaan itu.

“Saya serahkan kepada pengamal undang-undang. Tiada komen. Tidak komen apa-apa,” katanya

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.