Bajet 2022 terbesar, tetapi ada aspek merisaukan – Prof Agus

BAJET 2022 TERBESAR, TETAPI ADA ASPEK YANG MERISAUKAN

  1. Pada bulan Ogos tahun ni, Bank Negara meramalkan pertumbuhan ekonomi negara antara 3-4%. Dalam bajet hari ini, kerajaan menganggarkan pertumbuhan ekonomi negara tahun depan adalah antara 5.5-6.5%. Bolehkah ramalan ini dicapai?
  2. Bajet 2022 adalah sebanyak RM332.1 bilion, meningkat 3% daripada tahun lepas. Daripada jumlah itu, belanjawan pengurusan RM233.5 bilion, meningkat 6.3%; pembangunan RM75 bilion, meningkat 22.5%; unjuran defisit 6%, meningkat berbanding tahun 2021 5.4%.
  3. Merisaukan ialah unjuran defisit yang meningkat. Ini bermakna negara kita akan terus berhutang dan meningkatkan siling hutang negara.
  4. Dalam tempoh dua tahun siling hutang negara telah dinaikkan sebanyak dua kali. Sebelum ini silingnya ialah 55% daripada KDNK, 2020 naik kepada 60%, dan tahun 2021 naik kepada 65%.
  5. Lebih merisaukan ialah 29.5% daripada peruntukan bajet tahun ini diperoleh dari pinjaman, meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2014 yang hanya 14.5%. Peningkatan dua kali ganda dalam tempoh lima tahun ini menggerunkan.
  6. Yang membimbangkan setelah hutang ini semakin melebar ialah duit dari institusi negara seperti Petronas, KWSP, KWAN diguna lagi.
  7. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil lima tindakan segera. Pertama, mengawal defisit dengan tidak berbelanja melebihi daripada pendapatan. Kedua, meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan. Ketiga, mengawal ketirisan. Keempat, menggiatkan pembanterasan rasuah. Kelima, memastikan kutipan cukai yang efektif.
  8. Bagi meningkatkan pendapatan negara, ramai juga mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan semula GST yang dimansuhkan pada tahun 2018. Mujurnya kali ini tidak ada. Itu bagus untuk menjaga rakyat kerana rakyat belum mampu untuk menerima kenaikan harga barangan.
  9. Biarpun risau, saya merasakan bajet tahun ini tetap merupakan bajet terbesar dan baik. Dengan kekangan ekonomi yang ada, bajetnya komprehensif dan banyak juga yang kerajaan berikan kepada rakyat.
  10. Semoganya dengan mengambil langkah perlu, anggaran pertumbuhan ekonomi negara tahun depan antara 5.5-6.5% tercapai. Jika berlaku pertumbuhan ini, semoganya dua tahun dari sekarang kita dapat kembali kepada bajet yang seimbang.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM -Editor

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.