Bainun gagal kali kedua untuk dapat hak jagaan

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, gagal lagi dalam permohonan untuk mendapatkan hak jagaan seorang anak angkatnya berusia dua tahun selepas Mahkamah Majistret, di sini, memerintahkan kanak-kanak lelaki itu diserahkan kepada ibu kandungnya.

Peguam Nurainie Haziqah Shafi’i yang mewakili ibu kandung warga tempatan berusia 21 tahun itu berkata, Majistret Norfarahain Roslan memerintahkan hak penjagaan bagi kanak-kanak berkenaan diberikan kepada ibu kandungnya selepas meneliti laporan yang disediakan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menurut laporan Bernama.

“Hak penjagaan bagi kanak-kanak itu diberikan kepada ibu kandungnya, namun beliau masih terikat dengan tempoh pengawasan JKM selama tempoh dua tahun yang diperintahkan mahkamah,” katanya.

Tambah peguam itu, kanak-kanak berkenaan sebelum ini diserahkan kepada Siti Bainun untuk jagaan selepas dilahirkan.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili ibu kandung terbabit, Muhammad Hafiz Hood berkata, pendengaran bagi permohonan hak penjagaan tiga lagi kanak-kanak, yang kini di bawah jagaan JKM akan bersambung pada 16 November ini.

Pada prosiding itu, Siti Bainun diwakili peguam Nur A’minahtul Mardiah Mohd Nor.

Pada 2 Ogos lalu, Siti Bainun dan empat ibu kandung memfailkan permohonan melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret, di sini memohon perintah jagaan sementara terhadap lima kanak-kanak yang diberikan kepada beberapa rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai 2021 dibatalkan serta-merta di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Siti Bainun dan empat ibu kandung itu memfailkan permohonan berkenaan dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Minggu lepas, Siti Bainun gagal mendapatkan semula hak penjagaan salah seorang anak angkat warga Indonesia yang berusia tiga tahun.

Menurut peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun, Majistret Norfarahain Roslan memutuskan demikian atas alasan pengasas rumah jagaan itu masih mempunyai kes jen@yah di mahkamah yang masih belum diputuskan, lapor Utusan.

Pada 20 Ogos lalu, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami keceder@an fizikal dan emosi.

“Selain itu, pemohon (Siti Bainun) berumur di bawah 30 tahun yang mana berdasarkan keterangan Konsulat Indonesia, mana-mana individu yang ingin menjaga atau mengambil anak angkat warga mereka perlu berusia 30 tahun ke atas,”katanya ketika ditemui.

Tambahnya, kanak-kanak warga Indonesia itu akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras.

Rumah Bonda, yang diasaskan oleh Siti Bainun dilucut hak penjagaan ke atas enam kanak-kanak melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan 5 Julai lalu.

Kanak-kanak tersebut kemudian diberi penempatan sewajarnya di bawah pusat kebajikan kendalian JKM.

Rumah Bonda yang terletak di Jalan Kukuban disita pada 12 Julai lepas kerana didapati beroperasi secara har@m sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.

Pusat jagaan tersebut menjadi buah mulut apabila seorang remaja Syndrom Down yang dikenali sebagai Bella ditemui dalam keadaan luka-luka di tangan dan badannya dipercayai melecur, ditemui di sebuah unit kondo yang didakwa milik Siti Bainun.

Siti Bainun, kemudian dituduh di mahkamah sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengabaikan Bella, sehingga mengalami kecederaan pada Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga remaja kurang upaya (OKU) berkenaan dan telah menyebabkan pengabaian sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu dibuat di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju antara bulan Februari sehingga Jun tahun ini yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun serta denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

-Buletin TTKM.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.