DAP umum kekal bertanding 8 DUN, dua muka baru.

Melaka, 5 November: DAP hari ini mengumumkan barisan calon bagi PRN Melaka untuk 8 kerusi DUN.

Dua dari calon tersebut adalah muka baru iaitu Muhamad Danish Zainudin untuk kerusi N15 Pengkalan Batu dan dan Leng Chau Yen pula untuk kerusi N22 Bandar Hilir.

Danish merupakan satu-satunya calon melayu parti tersebut dan berdepan tugas sukar di kerusi panas DUN Pengkalan Batu, yang disandang Norhizam Hassan Baktee atau lebih dikenali sebagai YB Beliau, bekas anggota parti itu yang melompat menjadi adun Bebas sebelum ini.

Pada PRU14, DAP yang bertanding dibawah tiket Parti Keadilan Rakyat menang di kerusi tersebut dengan mendapat 9,227 undi berbanding Gerakan ( dibawah tiket Barisan Nasional) 6,471 undi dan PAS dengan 2,230 undi.

Bagi enam kerusi lain, parti itu akan mengekalkan muka lama bagi kembali bertanding pada pilhan raya tersebut.Mereka adalah Saminathan Ganesan (DUN Gadek), Kerk Chee Yee (DUN Ayer Keruh), Allex Seah Shoo Chin (DUN Kesidang), Low Chee Leong (DUN Kota Laksamana), Damian Yeo Shen Li (DUN Duyong) dan Tey Kok Kiew (DUN Bemban).

Calon-calon ini akan bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH).

Perkara ini diumumkan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng sebentar tadi.

Sementara itu, Barisan Nasional akan mengumumkan calon-calon PRN pada 10 pagi esok yang akan disiarkan secara langsung di bawah talian di laman facebook Umno Online.

Antara calon muka baharu yang disebut-sebut akan bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenalai sebagai Dira.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga dijangka bertanding satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah, manakala Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dijangka mempertahankan kerusi DUN Lendu disandangnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman.

Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi terdiri lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus wanita.-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.