Manifesto: BN tak benarkan HSR lalui Melaka jika tak berakhir di Singapura

PETALING JAYA: Melaka tidak akan membenarkan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) melalui negeri itu sekiranya ia hanya berakhir di Johor Bahru, bukannya Singapura.

Ketua Menteri Sementera, Sulaiman Md Ali berkata, ini berikutan laluan dari Kuala Lumpur hingga ke Singapura amat penting bukan sahaja dalam mengurangkan kesesakan, bahkan membawa limpahan ekonomi kepada negeri itu,lapor Melaka Hari Ini.

“Sebab itu saya kata dalam manifesto kita, jika BN diberi mandat baharu, saya minta penyambungan semula projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura diberi keutamaan.

“Jika BN diberi mandat baharu, saya akan menolak dan tidak memberi kelulusan kepada projek HSR jika ia hanya berakhir di Johor, bukannya Singapura,” katanya

Dalam pada itu Sulaiman berkata, beliau mempunyai perancangan tersendiri sekiranya HSR Kuala Lumpur ke Singapura diteruskan.

Katanya, antaranya mewujudkan jajaran baharu dari stesen HSR Melaka ke Melaka Sentral, selain turut bercadang memperluaskan laluan itu sehingga ke Zon Ekonomi Pesisir Pantai (M-WEZ).

“Jadi sepanjang jajaran ini nanti akan berlaku pembangunan ekonomi yang menghubungkan satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau daripada dulu amat bersetuju dengan jajaran HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura dengan stesen di Melaka kerana ia akan memberi limpahan dan pembangunan ekonomi kepada negeri tersebut.

“Kita akan menolak dan tidak akan memberi kelulusan yang kita panggil right of way bagi sebarang projek HSR sekiranya ia berakhir di Johor. Ini yang dibuat dulu. Sebab berapa ramai pelancong-pelancong yang daripada Johor datang kenegeri Melaka menyebabkan berlaku banyak kesesakan sistem di jalan negeri Melaka dalam bandar.

Kalau sampai ke Singapura, saya yakin orang Singapura akan datang terus naik keretapi laju dan terus sampai ke Melaka Sentral yang jajaran baru yang saya nak buat tu. ” katanya.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura memutuskan pembatalan projek HSR selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir hujung Disember tahun lalu.

Berikutan pembatalan itu, kerajaan Malaysia membayar pampasan sebanyak RM320,270,519.24 kepada Singapura.

Laluan kereta api sejauh 350km yang pada mulanya dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak pada 2013 itu dirancang bermula dari stesen terminal pusat bandar Kuala Lumpur ke terminal di Jurong East, Singapura, selain turut melibatkan hentian di Melaka.

Untuk rekod, projek tersebut yang dirintis oleh Datuk Seri Najib Razak ketika era pemerintahan BN tetapi berdepan ketidak tentuan semenjak kerajaan persekutuan BN tumbang pada PRU-14.

Penggantinya, Tun Dr Mahathir, membatalkan projek tersebut kerana mendakwa projek HSR itu tidak memberi manfaat selain tidak menguntungkan.

“Ia hanya satu trek yang pendek. Ia akan menjimatkan masa orang hanya satu jam sahaja dengan mengambil HSR.”

-Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.