3/4 majoriti: BN sapu 21 kerusi pada PRN Melaka

Barisan Nasional menang besar pada PRN Melaka dengan mendapat 3/4 majoriti bersamaan dengan 21 kerusi.

Pakatan Harapan dengan 5 kerusi, empat kerusi disumbangkan oleh DAP dan satu lagi oleh Amanah. PKR gagal mendapat sebarang kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula hanya mendapat dua kerusi, keduanya disumbangkan Bersatu. Gerakan dan PAS gagal mendapat sebarang kerusi.

Keputusan penuh:

DUNBarisan Nasional
Pakatan HarapanPerikatan NasionalJumlah
MELAKA21
UMNO – 18
MIC – 1
MCA -2
5
DAP – 4
AMANAH – 4
PKR – 1
2
Bersatu – 2
PAS – 0
Gerakan – 0
28

Keputusan mengikut DUN:

Pengundi tolak katak

Tiada seorang pun Adun yang berpaling tadah sehingga membawa kepada jatuhnya kerajaan BN-PN awal Oktober lalu menang sebarang kerusi.

Bekas ketua menteri Idris Haron – yang bertanding sebagai calon PKR kalah besar di Asahan apabila hanya meraih 1,344 undi. Pesaingnya Fairul Nizam Roslan (Umno-BN) yang merupakan muka baru, menang dengan 4,816 undi.

Norhizam Hassan Baktee yang bertanding sebagai calon bebas di Pengkalan Batu turut gagal mempertahankan kerusinya di sebalik kemenangannya pada 2018 dengan kelebihan 2,756 undi. Beliau hanya mendapat 1,218 undi.

Bekas exco Noor Azman Hassan yang bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kerusi Pantai Kundor sebagai calon Amanah turut kalah. Beliau hanya mendapat 2,799 undi berbanding BN yang mendapat 3,960 undi.

Calon PN, Mas Ermieyati Samsudin yang memenangi kerusi parlimen Masjid Tanah pada 2018 atas tiket BN turut kalah.

Dipertaruhkan sebagai calon ketua menteri oleh PN, Mas Ermieyati meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu, kalah tipis di tangan Ab Rauf Yusoh di Dun Tanjung Bidara. Beliau mendapat 3195 undi berbanding Rauf dengan 3559 undi.

Reaksi Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak melihat kemenangan BN dalam PRN Melaka hari ini sebagai isyarat jelas bahawa rakyat melihat pencapaian diutamakan dan janji ditepati, serta pada masa sama menolak “katak-katak politik”.

“Katak-katak politik tidak diterima sama sekali. Rakyat mahukan kestabilan demi kemakmuran. Satu pilihan raya yang agak sukar juga bagi BN.

“Kepada Adun-Adun BN dan kepimpinan kerajaan negeri Melaka, mandat telah diberikan oleh rakyat. Buat sehabis baik, tunaikan janji BN dan laksanakan urus tadbir yang cemerlang di Melaka.

“Kita tiada masa untuk dibazirkan. Melaka telah banyak ketinggalan sejak PRU14 dan kita perlu kembalikan Melaka ke landasan pembangunan,” katanya di laman Facebooknya malam tadi.

Najib turut menzahirkan penghargaan buat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Umno merangkap pengarah pilihan raya Melaka Mohamad Hasan, serta akar umbi PAS di Melaka atas sokongan diberikan.

“Walaupun terdapat perbezaan pendapat dari segi hala tuju bersama pada masa ini, namun ahli-ahli kita semua tidak lupa usaha-usaha dahulu ke arah pembentukan Muafakat Nasional dan hanya mahukan yang terbaik,” katanya lagi.

Reaksi Zahid.

Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan lima ketetapan yang menjurus kepada agenda transformasi dan pengukuhan bagi mewujudkan kestabilan politik negara bermula di Melaka berikutan kejayaan gabungan itu meraih majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan mencadangkan ketetapan itu pada sesi persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Agenda pertama adalah memperkenal Enakmen Anti Lompat dan meminda peruntukan undang-undang berkaitan bagi menangani isu ‘lompat’ dalam kalangan wakil rakyat di DUN Melaka,” katanya dalam sidang media selepas BN memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN itu.

Beliau berkata ketetapan kedua pula adalah mengusulkan kerjasama antara wakil rakyat untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal sekurang-kurangnya empat tahun dari tarikh pertama persidangan.

Katanya turut dicadangkan adalah memperkenal amalan undi percaya konstruktif bagi memastikan sebuah kerajaan tidak mudah dijatuhkan.

Ketetapan lain yang dicadangkan adalah memperkenal agenda transformasi dan pengukuhan dalam urusan persidangan DUN Melaka untuk membolehkan semua wakil rakyat memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan undang-undang, pembuatan dasar dan semak serta imbang terhadap kerajaan negeri.

Ahmad Zahid berkata ketetapan yang dicadangkan selaras dengan agenda kestabilan politik yang menjadi teras gabungan BN dan kemenangannya pada PRN Melaka adalah isyarat jelas hasrat rakyat negeri itu.

“Kejayaan yang telah diberikan kepada BN akan dibalas oleh kita dengan memberikan perkhidmatan terbaik serta melaksanakan segala janji yang terdapat dalam manifesto BN.

“Dengan kemenangan ini, BN juga mengiktiraf permintaan rakyat yang mahukan kestabilan politik kembali di Melaka… insya-Allah, kestabilan politik ini kita akan terjemahkan di seluruh negara dalam PRU (Pilihan Raya Umum) nanti,” katanya.

Reaksi Muhyidin

Walaupun hanya menang 2 kerusi, pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin berkata beliau bersyukur kerana gabungan itu berjaya menembusi Melaka tetapi tidak cukup bilangan untuk membentuk kerajaan sendiri.

“Perikatan telah menembusi Melaka. Terdapat angin perubahan tetapi tidak cukup bilangan untuk membentuk kerajaan”

“Saya berharap Barisan Nasional akan mengotakan semuanya janji kepada rakyat Melaka seperti yang disenaraikan dalam manifestonya” katanya malam tadi.

Beliau menambah, Perikatan akan mengadakan kajian mendalam terhadap keputusan undian kerana ini merupakan pertama kali ia bertanding bawah satu gabungan bersama PAS dan Gerakan.

“Kita akan kaji keputusan sama ada ia ada kaitan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, jentera (pilihan raya) kita atau isu-isu lain.

“Ini pastinya akan menjadi pengajaran kepada kita untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya. -Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.