Kesan terburuk PRN Melaka:”Najib mungkin PM ke-10″- Lim Kit Siang.

Kesan terburuk daripada PRN Melaka adalah Najib mungkin akan menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia

Oleh: Lim Kit Siang

Kesan terburuk daripada Pilihan Raya Negeri Melaka adalah Najib Razak mungkin akan menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Adakah ini perkara yang layak diterima rakyat Malaysia? Untuk menolak orang yang menjadikan negara kita terkenal sebagai “kleptokrasi terburuk” dan kemudiannya menerimanya semula empat tahun kemudian sebagai seorang penyelamat negara, yang dibebaskan daripada semua pertuduhan rasuah, seakan-akan mencuba untuk mewujudkan satu contoh terbaik kleptokrasi di dunia.

Tidak terkejutlah, sepucuk “surat kepada editor” bertanya perkara berikut:

“Bagaimana seorang yang tersabit bersalah boleh menjadi suatu perkara sensasi dalam kempen PRN Melaka?

“Bagaimana sebuah gabungan politik yang dipenuhi pertuduhan dan kes rasuah di mahkamah berjaya memenangi hati pengundi? Perkara ini amat mengagumkan.”

Nasib baik, perkara ini belum lagi menjadi satu perkara yang tidak boleh diubah sebelum PRU-15 yang akan datang.

Barisan Nasional memenangi majoriti dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri baharu negeri Melaka, tetapi parti tersebut tidak memenangi dua pertiga undi yang dibuang pada 20 November 2021.

Malah, Barisan Nasional hanya berjaya mendapat 38.39% undian daripada jumlah keseluruhan undian, peningkatan yang sangat kecil, sebanyak 0.55% berbanding dengan PRU pada tahun 2018.

Jelas sekali, Barisan Nasional tidak mempunyai mandat majoriti rakyat Melaka, apatah lagi dua pertiga, untuk memerintah negeri tersebut.

Terdapat 11 kerusi di mana Barisan Nasional menang dengan majoriti kurang daripada seribu undi, lapan di mana Pakatan Harapan berada di tempat kedua dan tiga di mana Perikatan Nasional berada di tempat kedua.

Kadar keluar mengundi di PRN Melaka ini adalah 19% lebih rendah berbanding dengan kadar keluar mengundi dalam PRU-14 — 83.52% dalam PRU-14 berbanding dengan 64.56% dalam PRN Melaka 2021.

DAP telah kalah di kerusi Pengkalan Batu dengan 131 undi, Duyong dengan 200 undi, Gadek dengan 559 undi; PKR pula kalah di Paya Rumput dengan 629 undi, Kelebang dengan 876 undi, Machap Jaya dengan 938 undi, dan Rembia dengan 860 undi; manakala Amanah kalah di Durian Tunggal dengan 559 undi. Bersatu kalah di Tanjung Bidara dan Pantai Kumbar dengan 364 dan 827 undi, dan PAS kalah di Serkam dengan 789 undi.

Sekiranya 11 kerusi ini telah dimenangi oleh PH dan PN, pembahagian kerusi di antara tiga gabungan politik ini akan menjadi PH 13, BN 10, dan PN5.

Keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka ini mengingatkan saya kepada lawatan saya ke Makam Hang Tuah di Duyong, di mana saya terfikir sejenak, sama ada sumpahan rasuah yang telah menyebabkan kejatuhan empayar Melaka 500 tahun yang lalu juga akan sekali lagi menyebabkan kejatuhan Melaka dan Malaysia di abad ke-21.

Tidak ada ragu-ragu, PRN Melaka ini merupakan satu halangan kepada matlamat DAP dan Pakatan Harapan untuk Utamakan Malaysia, Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara, tadbir urus yang baik, dan kedaulatan undang-undang.

Rakyat Malaysia tidak boleh berputus asa untuk terus menggunakan nilai terbaik pertemuan empat tamadun hebat dalam negara kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia — walaupun sekiranya perkara ini hanya dapat dicapai pada ulang tahun ke-100 penubuhan negara pada tahun 2057.

Walaupun terdapat penganalisa politik yang mengatakan rakyat Malaysia tidak berminat kepada prinsip-prinsip ini semua, saya diperkuatkan lagi selepas lawatan saya ke Bukit Cina semasa kempen PRN Melaka ini, kerana kejayaan kempen rakyat Melaka dan rakyat Malaysia, 37 tahun yang lepas, untuk “Selamatkan Bukit Cina” sebagai sebuah warisan kebangsaan adalah bukti yang kita boleh dan akan berjuang demi prinsip dan kepentingan negara.

(Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 23 November 2021)

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.