Peranan Zeti dalam skandal 1MDB: “Siasatan belum selesai ketika saya berkhidmat” – Tommy Thomas

Bekas peguam negara, Tommy Thomas berkata siasatan mengenai peranan bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz dan suaminya dalam skandal 1MDB belum disiapkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan.

Tambahnya, siasatan terhadap 1MDB oleh SPRM pada masa itu menimbulkan tujuh atau lapan pendakwaan terhadap pihak berbeza.

“Pada peringkat itu, kertas siasatan SPRM belum selesai mengenai Zeti dan lain-lain. Saya tidak pernah berpeluang melihat kertas siasatan itu.

“Apa yang saya akan katakan ialah, jika kertas siasatan selesai dan jika ada kes yang kukuh dan meyakinkan, pendakwa raya akan melakukan yang perlu,” katanya dalam temu bual dengan bekas diplomat Dennis Ignatius di YouTube semalam seperti dipetik Malaysiakini.

“Sekiranya bekas perdana menteri atau bekas timbalan perdana menteri tidak terlepas daripada pendakwaan, sudah pasti bekas gabenor bank pusat tidak,” katanya lagi.

Thomas diminta menjawab kontroversi Zeti selepas didapati AS$15.4 juta (RM65 juta) dana berkaitan 1MDB dipegang oleh sebuah syarikat milik suaminya Tawfiq Ayman.


SPRM berkata wang itu baru-baru ini diperolehi dari Singapura dan ia melibatkan akaun dari syarikat Cutting Edge Industries Ltd, sebuah syarikat milik Tawfiq dan Samuel Goh berjumlah RM65 juta.

Sebelum pendedahan SPRM itu, Tommy tidak pernah membuka mulutnya mengenai hal tersebut.

Sementara itu, Thomas turut menolak dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengamalkan pendakwaan terpilih, khususnya terhadap pemimpin Umno, di bawah pengawasannya antara Jun 2018 dan Februari 2020.

Sebagai seorang profesional undang-undang yang telah menjalankan amalan undang-undang selama empat dekad, Thomas berkata beliau hanya membuat keputusan untuk mendakwa selepas yakin bahawa pihak pendakwaan boleh menang dalam perbicaraan.

“Terdapat kira-kira 20 hingga 25 keputusan yang saya buat dalam tempoh 20 bulan. Saya akan membuat keputusan berdasarkan bukti, kertas siasatan dan undang-undang.

“Sebagai peguam perbicaraan, saya akan bertanya bolehkah kita memenangi kes itu? Adalah tidak adil untuk meletakkan seseorang di kandang saksi atau di kandang tertuduh jika pihak pendakwaan tidak boleh menang. Itu sahaja kriteria yang saya gunakan.

“Itu (kriteria yang saya ada) sama digunakan kepada presiden PKR Anwar Ibrahim dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali,” tambahnya.

Bulan lalu, bekas perdana menteri Najib Abdul Razak menyaman Thomas atas dakwaan pendakwaan salah bekas perdana menteri itu bagi beberapa kes jenayah.

Najib berhujah bahawa Thomas melakukan penyelewengan dalam jawatan awam, berniat jahat dan kecuaian. – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.