Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menuntut penjelasan terperinci daripada SPRM dan PDRM berhubung siasatan aset dana milik 1MDB melibatkan akaun Iron Rhapsody Ltd dan Cutting Edge Industries Ltd.
Kedua-dua syarikat tersebut telah dikaitkan dengan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.
“PDRM wajar tampil menjelaskan hasil siasatan memandangkan ia telah bermula sejak awal tahun 2021.
PDRM juga mengakui bahawa siasatan telah dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. ” kata Ir Ts Hj Khairil Nizam Khirudin, ketua penerangan PAS dalam satu kenyataan di laman facebooknya semalam.
Katanya lagi, penjelasan harus segera dilakukan kerana ia melibatkan wibawa institusi awam.
Terdahulu, bekas peguam negara, Tommy Thomas mendedahkan siasatan mengenai peranan bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz dan suaminya dalam skandal 1MDB belum disiapkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan.
Tambahnya, siasatan terhadap 1MDB oleh SPRM pada masa itu menimbulkan tujuh atau lapan pendakwaan terhadap pihak berbeza.
“Pada peringkat itu, kertas siasatan SPRM belum selesai mengenai Zeti dan lain-lain. Saya tidak pernah berpeluang melihat kertas siasatan itu.
“Apa yang saya akan katakan ialah, jika kertas siasatan selesai dan jika ada kes yang kukuh dan meyakinkan, pendakwa raya akan melakukan yang perlu,” katanya dalam temu bual dengan bekas diplomat Dennis Ignatius di YouTube semalam seperti dipetik Malaysiakini.
“Sekiranya bekas perdana menteri atau bekas timbalan perdana menteri tidak terlepas daripada pendakwaan, sudah pasti bekas gabenor bank pusat tidak,” katanya lagi.
Thomas diminta menjawab kontroversi Zeti selepas didapati AS$15.4 juta (RM65 juta) dana berkaitan 1MDB dipegang oleh sebuah syarikat milik suaminya Tawfiq Ayman.
SPRM berkata wang itu baru-baru ini diperolehi dari Singapura dan ia melibatkan akaun dari syarikat Cutting Edge Industries Ltd, sebuah syarikat milik Tawfiq dan Samuel Goh.
Sebelum pendedahan SPRM itu, Tommy tidak pernah membuka mulutnya mengenai hal tersebut. -Buletin TTKM-