Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara yang jatuh secara rasmi ke status kemelesetan ekonomi teknikal pada ketika ini berbanding negara jiran bagi suku ke tiga 2021.
Dengan menyertakan graf, kata Najib, kemelesetan teknikal itu bermaksud ekonomi mencatatkan penguncupan selama dua suku tahunan berturut-turut.

Menurutnya, perkara itu berlaku berikutan Malaysia merupakan satu-satunya negara dalam dunia yang mengumumkan darurat untuk menggantung parlimen “dengan alasan nak melawan Covid tetapi sebenarnya sebab mereka mahu kekalkan kuasa.”
“Indonesia mencatatkan pertumbuhan 3.5 peratus, Singapura 6.5 peratus, Filipina 7.1 peratus, Thailand menurun sebanyak 0.3 peratus, manakala Malaysia pula mengalami penurunan 4.5 peratus.”
“Biarpun darurat dibuat, RM600 bilion duit negara dibelanjakan oleh kerajaan dan lockdown separuh masak antara paling lama dalam dunia yang banyak menjahanamkan ekonomi Rakyat dan perniagaan kecil, negara kita masih mampu mencatat kadar kes Covid dan kadar kematian Covid antara paling tinggi dalam rantau dan dunia.”
“Harga barang-barang juga menaik tinggi akibat lockdown separuh masak tersebut – sehingga Guan Eng pun faham.” sindir Najib dengan menyertakan pautan berita portal Focus Malaysia yang bertajuk “Half-baked lockdowns” the cause for rising food prices, Guan Eng says” sambil berharap kegagalan tersebut tidak diulangi.

Najib berkata demikian di laman facebooknya semalam.
Terdahulu, KPDNHEP melancarikan OP Pasar ( Sayur 2) di seluruh negara bermula semalam. Ia susulan laporan kenaikan harga barangan makanan itu yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran. -Buletin TTKM-