Palsukan dokumen : Kakitangan JPN didenda RM3k

Tawau: Kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, selepas mengubah pengakuan kepada bersalah atas tuduhan memalsukan dokumen Borang Daftar Kelahiran (Borang A) enam tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu ke atas Ajid Abdinah, 44, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tempoh tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda itu.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 20 Februari tahun lalu atas pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, menurut laporan Berita Harian.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom dalam hujahannya berkata, kesalahan tertuduh membabitkan pengeluaran Sijil Kelahiran oleh JPN yang berkepentingan awam selain membabitkan keselamatan negara.

Beliau berkata, pihak pendakwaan memandang serius kes penggunaan dokumen palsu yang kerap berlaku selain tertuduh dalam kes ini adalah seorang pegawai JPN yang sepatutnya sedia maklum berkaitan prosedur pengeluaran sijil kelahiran.

“Tertuduh melanggar amanah yang diberikan dalam tugasnya dengan menggunakan dokumen palsu bagi mengeluarkan sijil kelahiran dan perbuatan tertuduh mencemarkan nama baik penjawat awam di mata masyarakat,” katanya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan mengambil kira faktor kemungkinan akan berdepan kehilangan pekerjaan.

“Saya tiada apa-apa niat buruk ataupun mahu melanggar undang-undang selain sudah menyesal. Kesalahan yang saya lakukan ini adalah kerana semata-mata kasih sayang terhadap anak ini,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengemukakan permohonan mendapatkan sijil kelahiran bagi seorang kanak-kanak perempuan yang dibintikan kepada tertuduh di pejabat JPN Cawangan Lahad Datu, pada 20 April 2015.

Tertuduh menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan sijil lahir dan resit bagi urusan MyKid.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati anak yang didaftarkan atas nama Adrianna Alanni binti Ajid, adalah anak kandung kepada abang tertuduh iaitu Abdul Sharif Abdinah serta salinan Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Anak dipalsukan. -Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: