Kes r0gol amah: Paul Yong diarah bela diri

IPOH: Bekas anggota exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong diperintahkan membela diri atas pertuduhan mer0gol pembantu rumah warga Indonesianya lebih dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan semalam bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Yong selepas mengambil kira semua keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan, lapor The Star.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas menimbang semua penghujahan, bukti, dan selepas memetik beberapa penghakiman sebelum ini.

“Beberapa elemen dipertimbangkan, termasuk kenyataan pakar perbidanan dan sakit puan mengenai koyakan segar di selaput dara mangsa.

“Selain itu, kenyataan mangsa juga konsisten sepanjang kejadian, mengenai penembusan tanpa persetujuan, tentang jeritan dan cuba melawan semasa kejadian, serta jeritannya tidak kedengaran apabila lengannya ditarik kerana pintu tertutup,” katanya.

“Kenyataannya bahawa dia tidak dapat melawan kerana tertuduh bersaiz besar dan tegap, serta dia berlari ke bilik air untuk membersihkan diri selepas berasa kotor, meluat dan terhina, semuanya diambil kira,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Azlina Rashdi, manakala Yong diwakili peguam bela utama Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.

Yong, yang merupakan bekas ADUN Tronoh, diperintahkan membela diri pada 15 dan 16 Feb, dan telah memilih untuk memberikan kenyataannya secara bersumpah dengan keterangan saksi.

Pada 23 Ogos 2019, Yong dibicarakan di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan mer0gol pembantu rumahnya yang ketika itu berusia 23 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik di tingkat atas rumahnya di Taman Meru Desa pada 7 Julai tahun itu, antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Kes3ksaan, yang membawa hukuman penj@ra sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 15 Dis tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan memanggil 23 saksi, termasuk dua saksi yang dilindungi, untuk memberi keterangan semasa perbicaraan yang bermula pada 5 April lalu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Rajpal berkata pasukan pembelaan menghormati keputusan hakim.

“Kami sedang melihat untuk memanggil empat saksi, dan anak guam saya tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” tambahnya.

Seorang pegawai konsular dari Kedutaan Indonesia, Rijal Al huda berkata, beliau berharap mangsa mendapat keadilan kerana sudah lebih dua tahun kes itu bermula.

“Dia telah terputus hubungan dengan keluarga dan kampung halamannya selama bertahun-tahun,” tambahnya.

Paul Yong sebelum ini merupakan bekas adun Tronoh dari DAP, telah meletak jawatan yang kemudiannya menyertai Bersatu pada Mac lepas sebagai ahli bersekutu bersama seorang lagi bekas adun Buntong DAP, Sivasubramaniam. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.