Kontak kasual: Rosmah tidak dibenar masuk mahkamah, perbicaraan ditangguh

Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan korupsi Rosmah Mansur untuk hari ini dan esok selepas beliau didapati merupakan kontak kasual dengan seorang pesakit Covid-19.

Menurut peguamnya, Jagjit Singh, Rosmah diberikan tanda “kontak kasual” dalam MySejahtera dan dilarang dari memasuki bangunan mahkamah.

“Dia (Rosmah) hadi hari ini, dan kami memberitahunya supaya menunggu di dalam kereta” kata Jagjit menurut laporan Free Malaysia Today.

Hakim perbicaraaan, Mohamed Zaini Mazlan berkata SOP mahkamah hanya membenarkan mereka yang berstatus risiko rendah untuk memasuki kawasan mahkamah.

“Walaupun sekiranya saya benarkan beliau masuk, pegawai di bawah boleh melangkaui keputusan saya.

“Status itu boleh berubah. Ia mungkin jingga atau kuning ketika ini tetapi boleh bertukar biru kemudian pada hari sama” katanya.

Zaini kemudian mengarahkan barisan peguambela untuk memeriksa dan mengemaskini status MySejahtera Rosmah pada hari jumaat.

“Sekiranya beliau berstatus ‘risiko rendah’, maka kita boleh teruskan” katanya.

Rosmah dibicarakan atas tiga pertuduhan rasuah kerana didakwa meminta RM187.5 juta daripada ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikatnya, Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek panel solar untuk 369 sekolah di luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion, melalui rundingan terus dengan kementerian pendidikan.

Dia juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Pendakwaraya ad hoc Gopal Sri Ram akan meneruskan pemeriksaan balasnya terhadap Rosmah apabila perbicaraan disambung semula.

Pada perkembangan yang sama, status MySejahtera suami beliau, Datuk Seri Najib Razak pula berwarna kuning setakat 7 Disember, menandakan beliau sebagai Individu dalam pemantauan.

Buletin TTKM difahamkan status MySejahtera Najib bertukar kuning pada malam 6 Disember kerana beliau bermesyuarat secara bersemuka dengan beberapa ahli pasukan pembelanya yang telah disahkan positif.

Paparan MySejahtera Najib.

Najib hadir secara atas talian melalui aplikasi Zoom pada perbicaraan pagi tadi dimana mahkamah menolak rayuannya terhadap terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Walau bagaimanapun, mahkamah rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan. -Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.