PASIR SALAK: Marah kepada mangsa yang menasihati supaya tidak terus menonton video lucah didakwa menjadi punca kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata perkara itu hasil siasatan dan keterangan diperoleh daripada mangsa buli berkenaan, lapor Berita Harian.
Katanya, polis sudah menemubual mangsa dan mendapati punca atau sebab pergaduhan kerana mangsa dikatakan menasihati seorang daripada suspek supaya tidak menonton video lucah di telefon bimbit.
“Mangsa memberitahu jika tidak berhenti menonton (video lucah) dia akan melaporkan perkara itu kepada guru atau warden. Jadi, perkara ini dikatakan menjadi punca suspek bertindak memukul atau membuli mangsa.DISYORKAN
“Keadaan itu menyebabkan enam suspek marah dengan seorang daripadanya yang juga pelajar Tingkatan Tiga mengarahkan rakannya yang terbabit untuk menumbuk dan menendang mangsa,” katanya mengulas perkembangan terkini berhubung kes itu, di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan enam pelajar sekolah berasrama di Kuala Kangsar yang menjadi suspek utama insiden buli terhadap pelajar lain, sebelum video mengenainya tular di media sosial.
Terdahulu, Mior Faridalathrash menghadiri majlis perjumpaan Ketua Polis Perak Bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak di Dewan Agro Aman Jaya, Tanjung Tualang, di sini, hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, beliau dimaklumkan pada Jumaat lalu semua pelajar pulang ke rumah masing-masing kerana cuti semester iaitu sehari sebelum malam insiden buli itu.
“Setakat ini polis sudah merakam percakapan saksi susulan video yang tular di media sosial, selain menahan 10 individu yang disyaki terbabit dan bersubahat dalam insiden itu.
“Seramai lapan saksi dipanggil dan diambil keterangan, sebelum semua semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis.
“Polis turut merampas 11 unit telefon bimbit yang akan dihantar ke jabatan forensik untuk melihat kandungan di dalamnya. Kita akan merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sebaik selepas semua siasatan selesai,” katanya.
Katanya, mangsa ketika ini masih menerima rawatan di sebuah hospital di Selangor dan keadaannya dilaporkan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.
Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan pelaku buli merayu, berharap ibu bapa mangsa supaya tidak membuat laporan polis dengan menyertakan tangkap layar perbualan di aplikasi whatsapp.
“Kami semua nak mintak maaf sangat-sangat dekat pihak kau terutama kau (mangsa), ibu bapa (mangsa) dan semua orang. Kami sedar apa yang kami buat tu salah sangat-sangat.
“Kau (mangsa), aku (pelaku) nak mintak maaf sebab mengaibkan kau sebab rakam kau apa semua, aku harap sangat-sangat tolonglah jangan buat laporan polis, tolong la, kau je harapan weh sumpah lepas kita orang tak kacau kau dah,” kata pelaku di dalam tangkap layar perbualan WhatsApp.

-Buletin TTKM-