Pengarah Eksekutif Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberi keterangan bahawa dirinya “terkejut” apabila Lim Guan Eng didakwa meminta 10 peratus keuntungan daripada projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Semasa perbicaraan hari ini terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu, saksi pendakwaan ke-22 Zarul mendakwa tertuduh meminta perkara itu daripadanya ketika mereka berdua berada di dalam kereta di Kuala Lumpur pada malam Mac 2011, lapor Malaysiakini.
Zarul mendakwa awal malam itu, dia telah memberi persetujuan kepada Lim berhubung MOU (Memorandum Persefahaman), bagi membolehkan tertuduh memberikan Projek Terowong Dasar Laut kepada syarikatnya secara rundingan terus.
Saksi itu mendakwa semasa berada di dalam kereta, Lim meminta daripadanya sebanyak 10 peratus keuntungan masa depan bagi projek RM6.3 bilion Pulau Pinang itu.
Untuk rekod, Consortium Zenith Construction adalah kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut.
“Selepas itu, YB Lim Guan Eng ada meminta saya untuk memberikannya 10 peratus daripada keuntungan projek itu kelak kepadanya.
“Ketika itu saya agak terkejut kerana perkara itu keluar dari mulut YB Lim Guan Eng dan saya berfikir sejenak tentang permintaan itu.
“(Ini) kerana saya tidak sangka ia akan keluar dari YB Lim Guan Eng yang saya ingat selama ini adalah orang yang menentang rasuah,” dakwa Zarul.
Lim berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.
Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. -Buletin TTKM-