“Biar mereka bercakap, saya dapat pahala lebih” – Menteri JPM jawab kritikan lambat respon banjir

Kuala Lumpur, 22 Dis: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menepis dakwaan bahawa beliau lambat memberi respon terhadap banjir di Selangor.

Beliau yang menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)  berkata beliau juga yang pertama sekali turun padang pada hari Sabtu, sebelum menteri besar Selangor berbuat demikian.

“Biarkan mereka bercakap, saya akan dapat pahala lebih” kata beliau yang juga merupakan ahli parlimen Mersing PPBM, dalam satu sidang akhbar di Taman Sri Muda semalam.

Beliau sebelum ini merupakan ahli parlimen umno yang kemudian menyertai PPBM pada 2019.

Katanya lagi, perkara tersebut adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Justeru, saya merasakan bencana itu tidak wajar dipolitikkan,” katanya.

Abdul Latiff berkata, secara keseluruhannya, keadaan banjir di negeri-negeri terjejas bertambah baik.

Beliau berkata proses pengaliran air banjir di Taman Sri Muda dan menyalurkannya ke Sungai Klang telah bermula.

“Dua puluh empat pam air yang disediakan Jabatan Saliran dan Pengairan akan digunakan di Sri Muda.

“Setakat ini, 16 pam air telah digunakan sejak 2 pagi dan 80% air banjir yang bertakung telah disalirkan.

“Kami menjangkakan air banjir di Taman Sri Muda akan dialirkan sepenuhnya tidak lama lagi supaya usaha pembersihan dapat dimulakan,” tambahnya.

Bagaimanapun, pelbagai faktor termasuk keluasan kawasan, cuaca dan paras air di sungai berhampiran perlu diambil kira, katanya.

Abdul Latiff turut menggesa kerajaan negeri masing-masing di negeri yang dilanda banjir supaya memaklumkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sekiranya menghadapi masalah air banjir bertakung supaya pam air dapat dihantar ke sana juga.

Pada perkembangan yang sama, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia berkata, pintu air di Taman Sri Muda tidak dapat dibuka ketika kejadian banjir kerana tekanan air tidak sama antara hulu dan hilir serta sampah sarap yang terkumpul menyebabkan pintu air tidak boleh dinaikkan.

Tambahnya lagi, tindakan awal untuk menaikan pintu air tersebut gagal disebabkan kerosakan teknikal shaft pada drum patah.

“Kerja-kerja fabrikasi shaft dan penggantian segera dilakukan oleh kakitangan JPS bagi membolehkan pintu air tersebut beroperasi semula.” katanya di laman facebook jabatan tersebut.

Terdahulu satu video dron oleh Mazlan Halil tular di media sosial menunjukkan keadaan kunci pintu tersebut yang tidak dibuka, sebaliknya air dari sebelah taman Sri Muda dialirkan keluar ke Sungai Klang dengan menggunakan dua pam.

“Punca air tak surut2 di sri muda difahamkan pintu kunci airnya jem. Sekarang ni pihak jps pakai mesin penyedut untuk buang air ke sg klang.” katanya.

-Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version