Berikutan video Rina Harun menyembur air pada lantai simen dan longkang yang bersih tanpa lumpur tular di media sosial, Jabatan Kebajikan Masyarakt tampil menjelaskan insiden tersebut.
Menerusi satu kenyataan, JKM berkata jabatan itu yang menguruskan operasi membersihkan sekolah kebangsaan Salak Tinggi, telah memohon kesudian YB Datuk Seri Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang sukar dicuci oleh pihak sekolah sebelum ini.
“Memandangkan peralatan waterjet sedia ada di lokasi pembersihan, YB Datuk Seri Rina tidak menolak pelawaan JKM, dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka” kata JKM.
Tambah kenyataan itu lagi, adalah tidak adil untuk para netizen membuat tohmahan dan memperlekehkan usaha dan penglibatan Datuk Seri Rina memandangkan beliau telah bersama-sama melakukan kerja-kerja pembersihan dan susn atur logistik lain di sekolah berkenaan.
Terdahulu, Operasi Pasca Bencana Banjir telah diaturkan oleh JKM dengan membersihkan sekolah tersebut yang telah dijadikan sebagai Pusat Permindahan Sementara dari 18-23 Disember 2021 dan perlu dipulangkan semula dalam keadaan bersih dan teratur.
JKM merupakan jabatan di bawah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di mana Rina Harun merupakan menterinya.
Sebelum ini menteri tersebut menjadi bahan troll di media sosial kerana memakai kasut tumit tinggi ketika menziarahi mangsa banjir. -Buletin TTKM-

