Petisyen atas talian desak kerajaan lulus pengeluaran simpanan one-off KWSP

Satu petisyen atas talian di change.org telah dilancarkan bagi mendesak kerajaan meluluskan “Pengeluaran KWSP secara one-off untuk kelangsungan hidup“.

Petisyen yang dianjurkan oleh The Patriot Asia itu setakat ini mendapat lebih 9 ribu tandatangan.

Berikut merupakan memo petisyen tersebut:

Rakyat tersepit dan keperluan kewangan semakin mendesak. Pengeluaran KWSP secara one-off ini sangat penting untuk kelangsungan hidup

Selama 4 tahun semenjak 2018, rakyat Malaysia telah mengalami 3 fasa kelangsungan kehidupan yang agak mencabar iaitu kelembapan ekonomi, kemudian diuji dengan Perintah Kawal Pergerakan (PKP) dan yang terkini, musibah bah besar di hampir keseluruh negara dengan beberapa negeri berdepan risiko berlakunya bah besar.

Ketiga-tiga keadaan ini amat menghimpit dan memberi kesan kepada kehidupan rakyat terutamanya golongan usahawan dan IKS.

Perdana Menteri telah mengumumkan tiada pengeluaran simpanan KWSP memandangkan telah ada bantuan banjir (RM1000) dan bantuan pinjaman tanpa faedah daripada TEKUN sebanyak RM10,000 dan BSN sebanyak RM5,000 serta moratorium selama 6 hingga 12 bulan.

Namun begitu, kami merasakan KWSP one-off masih diperlukan dan harapnya pilihan ini dapat diberi. Berikan rakyat kelonggaran untuk memilih sama ada tidak ingin dibebani tambahan komitmen bulanan dengan hanya mengeluarkan KWSP mereka ataupun memilih kedua-duanya sekali.

Antara sebabnya:

1. Ada di kalangan kami yang tidak ingin, walaupun adanya ‘grace period’ selama 6 ke 12 bulan, menanggung bebanan komitmen tambahan untuk membayar balik pinjaman. Simpanan kami di KWSP mencukupi tanpa perlu kami menambah komitmen.

2. Ada di kalangan kami yang nilai kerosakan kediaman dan perniagaan memerlukan lebih dari pinjaman dan bantuan yang ditawarkan iaitu sekitar RM16,000.

3. Ada juga yang memikirkan adakah kerenah birokrasi akan melambatkan proses pinjaman, apatah lagi mangsa yang terkesan berjumlah ratusan ribu orang, walhal kewangan itu diperlukan pada kadar segera. Ini belum mengambil kira dokumen-dokumen yang mungkin sudah tiada untuk melancarkan proses permohonan.

4. Ada juga yang berada di dalam senarai CTOS dan CCRIS yang berkemungkinan sukar untuk mendapatkan kelulusan pinjaman.

Kesimpulannya, permudahkanlah kami rakyat untuk mendapatkan bantuan kewangan kerana begitu banyak kekangan yang kami hadapi.

Bantuan sepatutnya dibahagikan kepada 3 peringkat masa iaitu:

1. Mudah urus dan cepat.- Bantuan RM1000 mangsa banjir
2. Pertengahan – Bantuan RM10,000 one-off KWSP
3. Masa yang panjang – Bantuan pinjaman TEKUN dan BSN

Kepada rakan-rakan yang bersetuju dengan cadangan ini, mohon bantu kami untuk menandatangani petisyen ini. Akan kami cuba sampaikan kepada YAB Perdana Menteri.

Sementara itu, boleh juga baca dan fahami kenapa langkah desakan ini dibuat.

Sekian.
Jamalee Bashah
Presiden Persatuan Patriots Malaysia”



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: