Kelana Jaya, 4 Januari : PPV di Vision College dekat Kelana Jaya siang tadi kecoh apabila keadaan sesak dan tidak terkawal sehingga SOP penjarakan sosial gagal dipatuhi mereka yang ingin mendapatkan suntikan dos penggalak.

Perkara tersebut diburukkan pula apabila seorang pegawai Rela yang mengawal pusat tersebut dilihat gagal mengawal keadaan sehingga bersuara tinggi sambil membuka pelitup mukanya.
Tidak cukup dengan itu, kekurangan kerusi menyebabkan ramai warga emas mendakwa terpaksa beratur berdiri berjam-jam lamanya.

Menerusi satu video berdurasi 35 saat yang tular di media sosial, pengguna facebook Azizul Akhil Harun berkata beliau berasa kasihan melihat warga emas yang agak ramai terpaksa berdiri lama.
Video ehsan Azizul
“Beritahu pengurusan tu kalau tak boleh nak sumbat ramai-ramai, janganlah tamak. Menyusahkan warga emas dah ni. Bukan seorang dua cakap kena tunggu sampai 2-3 jam. ” katanya.
Tambahnya lagi, lokasi tersebut pun sememangnya dari awal tidak strategik untuk dijadikan PPV.
“Parking terhad , kanopi untuk orang menunggu tidak cukup, kerusi untuk warga emas tak sediakan. Jadi benda-benda ni pergi bagi pengurusan faham dulu. Orang batal (mendapatkan suntukan) sebab tempat tak sesuai. Bukan semua orang sihat tubuh badan nak tunggu berjam-jam” jelasnya lagi.
Sementara itu, seorang pengguna facebook lain, Nadia Adnan menyatakan rasa kesalnya dengan tindakan sukarelawan yang bersuara tinggi ketika gagal mengawal keadaan.
“Perlukah suara tinggi macam tu ya? Dah nampak warga emas belaka. Memang spesis biadab ke?Nak jadi sukarelawan kalau rasa diri tu kurang beradab tolong jangan. Pakcik tu gerak payung pun dah menggelabah. Ni kalau kena parents aku korang maki-maki macam ni memang aku jadi hulk sekali la” katanya.
Setakat berita ini di tulis, tiada sebarang kenyataan dari KKM mahupun pengurusan PPV di Kolej tersebut.
Semua penerima dos lengkap vaksin COVID-19, Sinovac yang berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata individu yang berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin yang diambil sebelum ini juga perlu mendapatkan suntikan dos penggalak itu pada tempoh berkenaan.
“Sekiranya kumpulan individu yang dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.
“Individu terbabit tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19,” -Buletin TTKM-