SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan punca seorang pemandu lori yang gagal mengawal kenderaannya sehingga merempuh tiga buah kenderaan di Jalan BRP 8/2, berdekatan Kilang Daikin, dekat sini semalam adalah kerana sakit dada akibat serangan jantung .
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya telah terkesan satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki tempatan telah terlibat dengan satu kemalangan bersama tiga buah kenderaan.
“Pemandu lori tersebut dipercayai sakit dada menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kereta yang diparkir di bahu jalan di lokasi sekitar pukul 10.45 pagi.
“Bagaimanapun, pemandu lori yang dikenali Ahmad Sukri Abd Samad berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada pukul 12.09 tengah hari semalam dan punca kematiannya adalah ‘Myocardial infacrtion’ atau serangan jantung,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati waris dan keluarga mangsa.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, video berdurasi 48 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita menuduh pemandu lori terbabit mabuk selepas melanggar beberapa buah kenderaan di lokasi.
“Awak mabuk ke? Awak tak nampak ke apa awak buat? Dia mabuk ni! Ni kereta dia (langgar) buat macam ni” kata wanita tersebut dalam video tersebut.
Berikutan itu, warganet mendesak wanita terbabit memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa atas tuduhan yang tidak berasas itu. -Buletin TTKM-
