Selepas menerima kecaman, SPRM padam video kempen ‘MC Boleh Menjadi Rasuah’

Selepas menerima kecaman pelbagai pihak termasuk MMA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akhirnya menurunkan video kempen ‘MC boleh menjadi rasuah’ yang dinaikkan di akaun twitternya.

Agensi pencegahan rasuah itu dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak.

Menurut SPRM, pihaknya tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam penyiaran video berkenaan.

“SPRM amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19,” kata SPRM.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, video itu merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit palsu (MC) dan contoh tersebut berdasarkan situasi sebenar yang pernah disiasat oleh SPRM menerusi aduan yang diterima daripada pihak majikan dan orang awam.

“Sebagai makluman video yang diterbitkan bertujuan mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah,” katanya.

Terdahulu, MMA dalam kenyataannya semalam menyelar SPRM berikutan video kempen itu sambil menggesa agensi penguatkuasaan itu menjaga reputasi sendiri dan membuat permohonan maaf terbuka.

MMA turut mendesak SPRM menurunkan segera klip video yang dianggap mencemarkan imej profesion perubatan sambil mempersoalkan adakah agensi tersebut lupa dengan pengorbanan pada doktor untuk negara dalam memerangi virus SARS-CoV-2 yang setakat ini meragut 31,591 nyawa.

Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki telah memberi sekeping sampul surat kepada seorang doktor wanita untuk mendapatkan MC walaupun doktor tersebut mendapati lelaki itu sihat. -Buletin TTKM-

Berikut merupakan kenyataan penuh SPRM:

RESPONS SPRM BERHUBUNG ISU PSA ‘MC BOLEH MENJADI RASUAH’


Merujuk kepada video pengumuman perkhidmatan awam (PSA) yang dimuat naik bertajuk ‘MC boleh menjadi rasuah’ pada 4 Januari 2022, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil maklum mengenai respons yang diterima termasuk daripada pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).


Sebagai makluman, video yang diterbitkan bertujuan untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.


Dalam konteks video ini, ia merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit palsu (MC) dan contoh ini berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM, menerusi aduan yang diterima daripada pihak majikan dan orang awam kepada suruhanjaya ini.


Suruhanjaya ini tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan.


SPRM amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.


Sehubungan dengan ini, bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan, SPRM mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
6 JANUARI 2022

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.