Tarik balik persetujuan vaksin: Peguam buat laporan polis, KJ dan Noor Hisham bakal disaman.

Seorang peguam, Asiah Abdul Jalil membuat laporan polis di balai polis Kuantan hari ini berhubung vaksinasi COVID-19.

Menulis di akaun facebooknya, Asiah berkata laporan polis tersebut bertujuan untuk menolak sebarang vaksin COVID-19 pada masa akan datang selain menarik balik persetujuan suntikan vaksin COVID-19 yang telah ditandatangani sebelum ini.

Tambahnya lagi, ia juga adalah untuk melindungi kepentingan sekiranya didiskriminasi akibat status vaksin tidak lengkap pada rekod MySejahtera.

“Sebagai ibu kandung, saya dengan ini tidak membenarkan anak-anak kandung saya, sama ada pada peringkat umur dewasa, remaja, kanak-kanak atau bayi, daripada menerima apa-apa vaksin COVID-19 dalam program PICK yang dilaksanakan oleh KKM dan kerajaan Malaysia. ” kata Asiah dalam laporan polis itu.

Jelas Asiah, pada sepanjang masa kerajaan tidak pernah mewajibkan penerimaan vaksin COVID-19 kepada mana-mana pihak.

“Tetapi kerajaan melalui arahan eksekutif dan kuasa pentadbiran menteri kesihatan (Khairy Jamaluddin) dan ketua pengarah kesihatan (Dr. Noor Hisham Abdullah) telah membuat peraturan, dasar dan polisi yang menyekat hak kebebasan dan hak asasi bagi sesiapa yang belum menerima vaksin atau menolak vaksin” katanya.

Mengenai persetujuan menerima suntikan vaksin Covid-19, Asiah berkata tindakan itu sebelum ini dibuat bukan dengan rela hati tetapi terpaksa dibuat kerana akur dengan peraturan-peraturan yang dibuat oleh kerajaan yang akan menyusahkan kehidupan rakyat yang tidak divaksinkan.

“Saya dengan ini menarik balik semua persetujuan suntikan vaksin COVID-19 bagi diri saya dan anak-anak kandung saya berkuat kuasa serta merta.

“Saya tidak bersetuju untuk menerima apa-apa dos penggalak pada masa depan bagi diri saya dan anak-anak kandung saya” tambah Asiah pada laporan polis itu.

Dihubungi Buletin TTKM, Asiah berkata beliau turut bercadang untuk memfailkan saman terhadap Khairy Jamaluddin dan Dr. Noor Hisham.

“Saya sebagai ibu kandung, bercadang nak failkan saman terhadap Khairy Jamaluddin dan Dr. Noor Hisham Abdullah di bawah kausa tindakan “tort of misfeasance in public office”, sekiranya vaksin COVID-19 diwajibkan ke atas anak-anak saya atau sekiranya anak-anak saya didiskriminasi akibat tidak mengambil vaksin COVID-19.As of now belum ada “kerugian” atau “kerosakan”. “

Nak saman di mahkamah sivil, kena buktikan elemen tersebut.”

Police report ini sebagai standby police report. In case anak-anak saya didiskriminasi selepas ini, maka pada masa itu wujud elemen “kerugian” atau “kerosakan” atau “pencabulan hak”, tambahnya lagi.

Dalam hantaran facebooknya juga, Asiah mengepilkan borang persetujuan vaksinasi dengan menggariskan klausa “melengkapkan jumlah pengambilan dos” yang didakwanya adalah satu perangkap.

Untuk rekod, Asiah merupakan peguam mewakili  Muhammad Zaki Omar, 36, yang dituduh menghantar komunikasi jelik melibatkan Kementerian Kesihatan berhubung kesan pengambilan vaksin.

Zaki juga  pernah didakwa atas kesalahan di bawah Ordinan Darurat kerana menyebar berita palsu berhubung kematian seorang anggota polis akibat vaksin.

Pada penghujung disember tahun lepas, KKM memutuskan sela masa baharu bagi pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Pfizer dan Astrazeneca ditetapkan tiga bulan selepas menerima dos kedua.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya menjangkakan sebahagian penduduk akan mula menerima dos penggalak masing-masing pada Januari dan Februari ini.-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.