Putrajaya, 7 Jan: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mula mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang ‘telah mencemarkan reputasinya dan SPRM.’
Wartawan penyiasatan, Lalitha Kunaratnam menjadi sasaran pertama apabila menerima surat tuntutan dari Azam Baki semalam.
Perkara tersebut disahkan Lalitha menerusi laman Twitternya.
“Saya sudah menerima surat tuntutan (LOD) daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Terima kasih,” katanya dalam satu ciapan di Twitter pada Khamis.
LOD itu adalah merujuk kepada dua artikel yang didakwa ditulis beliau di laman portal Independent News Service yang bertajuk
- Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Part 1) dan.
- Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Part 2)
Terdahulu, Azam Baki berkta tindakan tegas itu diambil bagi memastikan dakwaan yang tidak berasas itu tidak berulang.
“Memang terdapat usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM mengambil kesempatan untuk terus menghakis kepercayaan masyarakat ke atas agensi ini dengan menjadikannya sasaran serangan bertubi-tubi.
“Setelah mendapatkan nasihat peguam, saya telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya dalam sidang akhbar khas bersama Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.
Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mempertahankan tindakan tersebut dengan memaklumkan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.
Jelasnya, tiada sebarang perlakuan jenayah atau ‘conflict of interest’ (konflik kepentingan) dalam perkara tersebut.
Pada perkembangan yang sama, penjelasan tersebut menjadi bahan troll di media sosial.
Artis grafik satira, Fahmi Reza menaikkan satu karikatur memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti penguatkuasa sambil jari telunjuknya ditujukan kepada seorang watak bayi perempuan dalam kartus The Simpson dengan dialog “Adik saya yang buat”
Beliau turut menaikkan 50 senarai lagu di Spotify dengan tajuk “Adik Ku Sayang”
“ Adik Ku Sayang50 lagu untuk adik ku yang suka guna akaun ku.” kata Fahmi Reza.
Lagu-lagu tersebut boleh didengari melalui streaming di sini : https://open.spotify.com/playlist/2RTaRNE74jjrmuvGIjsqhd
-Buletin TTKM-