Lebih 97% mahu i-Citra RM10,000: Dapatan kajian awam Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97.12% atau 21,458 rakyat mahu kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra sebanyak RM10,000 secara “one off” berdasarkan kajian dapatan awam yang dijalankan oleh Pemuda Umno.

Exconya, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, hasil kajian secara maya melibatkan 21,763 orang itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob secepat mungkin.

Katanya, kajian awam itu membuktikan rakyat memang benar-benar memerlukan pengeluaran i-Citra.

“Kita bukan buat secara rawak. Dapat sampel akan buat mesyuarat kumpulan bersama Biro Penyelidik Pemuda Umno,” katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn seperti dipetik portal Free Malaysia Today.

Azril berkata, kajian awam itu juga menunjukkan sebanyak 18,777 orang Melayu mahukan i-Citra dan selebihnya Bumiputera Sabah dan Sarawak, Cina, India dan lain-lain.

Katanya, dapatan itu turut menunjukkan golongan berumur bawah 50 tahun memerlukan i-Citra, dengan seramai 10,698 membabitkan mereka yang berumur antara 35 hingga 44 tahun menyokong pengeluaran i-Citra.

“Bagi umur 25 hingga 34 pula seramai 5,455 sokongan i-Citra dan umur 45-54 seramai 5,150 sokong,” katanya ketika memaklumkan hasil kajian selama sebulan dari 11 Jan hingga 12 Feb lalu.

Beliau berkata, antara alasan yang dinyatakan untuk menyokong pengeluaran i-Citra adalah kelangsungan diri dan keluarga, terkesan dengan banjir, membaiki rumah rosak banjir, pembayaran hutang semasa tertunggak ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) serta membeli buku sekolah anak.

Katanya, hasil kajian itu juga akan dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul  sebelum menyelar pihak yang melobi pengeluaran simpanan wang KWSP dan menyifatkan mereka sebagai penghasut rakyat.

Untuk rekod, antara pihak yang lantang mengenai pengeluaran wang KWSP adalah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, presiden UMNO, Dato Dr Zahid Hamidi dan ketua pemuda UMNO, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.