PAS pecat Khairuddin

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd Khairuddin Aman Razali dipecat sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pusat parti itu.

Dia mengesahkan perkara itu ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Marang, Terengganu, sebentar tadi.

Hadi tidak mendedahkan secara khusus alasan pemecatan bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi itu sebaliknya hanya berkata ia perkara biasa, lapor Malaysiakini.

Dia bagaimanapun memberi gambaran terdapat kaitan dengan isu disiplin.

“Dalam parti kita ada disiplin. Siapa yang tidak ikut, dia boleh ditukarkan jawatan, bertugas di tempat lain, digantung keahlian atau boleh dipecat,” katanya. 

Khairuddin sebelum ini dilanda kontroversi kerana didakwa tidak kuarantin sejurus tiba dari luar negara Julai tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Jabatan peguam negara berkata tiada pendakwaan dikenakan ke atas beliau kerana ‘tiada keterangan yang kukuh bagi mengasaskan pertuduhan’

Ekoran itu, beliau yang dikenali sebagai Khairuddin At Takiri disindir netizen sebagai Khairuddin At Takkuarantin.

Selain itu, pada isu berlainan, pada Jun tahun lalu, beliau dilaporkan akan dirakamkan kenyataannya oleh pihak polis berhubung isu pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Perasing, Kemaman.

Ketika itu, Khairuddin dalam satu kenyataan menafikan tuduhan bahawa beliau ditahan di SJR Perasing dan mempunyai hubungan dengan seorang selebriti wanita.

Khairuddin berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati menulis, menyiar atau menyebarkan cerita tidak benar itu.

Nama Khairuddin turut digugurkan dari kabinet yang dibentuk Ismail Sabri yang mana beliau sebelum itu merupakan menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sewaktu kerajaan pimpinan Muhyiddin Yasin -Buletin TTKM –



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version