Selepas ditahan kerana positif dadah, Adun DAP kini dibebaskan

Bukit Mertajam: Seorang peguam mengesahkan wakil rakyat yang ditahan polis kerana positif dadah awal khamis adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Terence Naidu.

Peguam tersebut, RSN Rayer yang mewakili Terence mengesahkan perkara itu selepas dihubungi portal Malaysiakini.

Katanya, pihak polis memohon untuk mendapatkan perintah reman selama empat hari , tetapi permohonan itu tidak dibenarkan mahkamah.

“Ya dia (Terence) ditahan. Saya hadir prosiding reman hari ini.

“Mereka (polis) meminta empat hari dan saya membantah reman itu. Mahkamah memerintahkan (untuk) dia dibebaskan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terence, 54, menyandang jawatan Adun selama dua penggal.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang Adun Perak ditahan dalam serbuan polis di sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam.

Dia kemudiannya ditahan selepas didapati positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen itu menetapkan bahawa mana-mana orang yang mengambil atau memberikan kepada dirinya sendiri apa-apa dadah berbahaya adalah bersalah. Mereka yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Jabatan Siasatan Narkotik Polis Pulau Pinang Mustafa Kamal Gani Abdullah mengesahkan 47 yang lain turut ditahan dalam serbuan jam 9 malam itu. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.