Saya terkejut positif, seseorang tuang “minuman aneh” dalam gelas saya ketika saya ke tandas

Ipoh, 15 Jan: ADUN DAP Pasir Bedamar, Terence Naidu akhirnya membuka mulut mengenai insiden penahanan beliau di sebuah kelab malam kerana didakwa positif dadah.

Dalam satu kenyataan yang dinaikkan di laman facebooknya, Terence berkata beliau terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencingnya positif kerana dia tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang.

“Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak”

Dia mendakwa dihidangkan minuman yang aneh ketika di kelab malam tersebut di mana gelasnya diisikan seseorang sewaktu dirinya ke tandas.

“Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit”


“Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya.”

Berikutan itu, Terence membuat laporan polis menyatakan bahawa dirinya terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan telah menamakan saksi terhadap kejadian terbabit.

“Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dia lihat.”

“Berikutan dengan ini Saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah walaupun ramai yang telah membuat keputusan bahawa dirinya semestinya bersalah.

Terdahulu, DAP Perak meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu memberi laporan bertulis berhubung penahanannya dalam serbuan polis di sebuah restoran di Perai, Pulau Pinang, Khamis lalu. -Buletin TTKM-

Berikut merupakan kenyataan penuh Terence Naidu

Setelah begitu lama terlibat dalam dunia politik, dan setelah dua penggal dilantik sebagai Adun, saya amat menyedari tanggungjawab seorang wakil rakyat, yang salah satunya untuk mematuhi undang-undang. “Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu nampak sebagai terlaksana”. Itu lah pendirian saya selama ini.


Sepertimana yang dilaporkan media, sayalah Adun yang baru-baru ini ditahan oleh pihak polis di Perai.Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden terbaru ini, di mana saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.


Dalam kenyataan beramaran saya kepada pihak polis, saya telah menyatakan:
1 – Saya diundang bertemu kawan-kawan (yang juga sebenarnya klien) untuk perjumpaan dan makan Tahun Baru Cina Di Pulau Pinang.
2 – Apabila tiba di Perai, saya dibawa ke lokasi di mana saya akan kemudiannya ditahan3 – Saya teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk.
4 – Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang
5 – Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak
6 – Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit
7 – Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya.


Ekoran insiden ini, pada 14 Januari 2022 sebaik sahaja dibebaskan, saya telah membuat laporan polis menyatakan bahawa saya terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan telah menamakan saksi terhadap kejadian terbabit.
Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dia lihat.


Berikutan dengan ini Saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.


Walau bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah.Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah.


Tiada apa yang berubah, dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya.


Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti atas sokongan dan kepercayaan mereka kepada saya. Berkenaan dengan pendirian DAP Perak menuntut saya memberi penjelasan dan saya patuhi.


Sebagai Adun yang bertanggungjawab dan dilantik di bawah bendera parti, saya juga bersedia untuk melindunginya daripada sebarang masalah dan bersedia untuk digantung keahlian, supaya pihak parti tidak terheret sama dalam kes ini.Buat para penyokong yang mengenali saya secara peribadi, terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya.

-Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version