Hantaran palsu “Selamat Jalan?”, Pembantu Kit Siang pula mohon maaf kepada Najib.

Setiausaha politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung hantaran palsu “Selamat Jalan?” yang kononnya ditulis oleh Najib.

Beliau berkata demikian setelah ditanya oleh Najib berhubung ciapan “Low class” oleh Syahredzan pada ciapan Adam @amofficalmy yang menaikkan hantaran palsu itu.

“Syahredzan, Apa cerita? Kamu juga ulang ciap ini?” soal Najib.

“Saya mengulas mengenainya. Saya telah memadamkan ulasan tersebut dan memohon maaf kepada anda kerana menganggap ianya benar” jawab Syahredzan.

Terdahulu, ciapan tangkap layar palsu itu pertama kali dinaikkan oleh pembantu Tun Dr Mahathir, Abdul Muhaimin Mohd. Muhayedin atau lebih dikenali dengan nama Adam Mukhriz di akaun @amofficalmy

Najib menafikan ada menaikkan hantaran itu dengan menyertakan bukti aktiviti log dan berkata akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap Adam Mukhriz dan juga ahli parlimen PKR Kangar, Amin Ahmad yang menularkan perkara tersebut sekiranya tidak memohon maaf.

Tidak sampai 10 minit Najib membuat ancaman itu di laman facebooknya, Amin Ahmad memohon maaf kepada Najib dan mengakui beliau terkhilaf kerana didorong rasa geram.

“Saya akui ini kekhilafan saya kerana didorong rasa geram bila komen sedemikian boleh dibuat terhadap orang sakit, walaupun berbeza pandangan politik. Justeru itu saya meminta maaf atas kekhilafan tersebut.” kata Amin.

Sementara itu, Adam pula telah memadam ciapan tersebut dan menukarkan gambar profil di akaun twitternya @amofficalmy. Malah namanya di akaun itu turut ditukarkan dari Adam kepada AM.

Terkini, Adam mempersoalkan mengapa soalannya dijawab dengan saman.

Walaupun tidak memetik sesiapa, ciapan itu dipercayai sebagai menjawab ancaman saman oleh Najib.

“Bila tanya sepatutnya jawab je. Kenapa jawab soalan dengan saman?” ciap Adam. -Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: