PRN Johor: PKR guna logo sendiri, DAP dan AMANAH logo PH

Kuala Lumpur, 26 Jan – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan logonya sendiri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP kekal menggunakan logo Pakatan Harapan (PH).

Keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan Mesyuarat Khas hari ini membincangkan khusus mengenai persediaan menghadapi PRN Johor menurut kenyataan akhbar Majlis Presiden PH

“Sungguhpun ada pandangan berbeza berkaitan dengan permintaan PKR mengenai penggunaan logo, Mesyuarat Majlis Presiden PH bersetuju untuk menghormati hasrat tersebut.

“Logo PH akan digunakan dan PKR pula akan menggunakan logo sendiri untuk PRN Johor,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon PH diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Majlis Presiden PH turut mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihanraya Negeri Johor yang akan datang,” ujarnya.

Pada Isnin, PH mengumumkan membuat keputusan untuk bertanding dalam PRN Johor yang akan diadakan nanti.

Pada PRN Melaka baru-baru ini, PKR kalah di kesemua kerusi yang ditandingi di mana pada pilihanraya itu, parti tersebut menggunakan logo Pakatan Harapan.

Pada PRU 14 lepas, PKR, DAP, Amanah serta Bersatu menggunakan logo PKR mewakili Pakatan Harapan kerana pendaftaran gabungan itu sebagai parti politik belum diluluskan ROS. -Buletin TTKM-


Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.