Dakwaan terima rasuah dan Vellfire: “Rekayasa dusta berbaur fitnah, berniat jahat!” – Dr Maszlee

Dr Maszlee Malik menyifatkan dakwaan rasuah melibatkan dirinya seperti yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini sebagai “kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah”.

Menafikan perkara itu, Maszlee berkata perkara tersebut merupakan satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat menjelang PRN Johor.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan” katanya.

Walaubagaimanapun, Maszlee mengalu-alukan sebarang siasatan berhubung isu tersebut.

“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan” kata Maszlee dalam satu kenyataan hari ini.

Maszlee disebut-sebut akan bertanding di DUN Layang-layang serta kemungkinan akan dicalonkan sebagai calon menteri besar sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRN Johor.

Terdahulu, Malaysiakini semalam melaporkan SPRM sedang menjalankan sisatan terhadap ahli parlimen simpang renggam itu.

Dengan memetik sumber yang tidak dinyatakan, Malaysiakini melaporkan “Maszlee didakwa menerima wang daripada pembekal kementerian berkenaan yang kemudiannya digunakan untuk aktiviti politik.”

“Dia juga didakwa menerima sebuah kereta jenis Toyota Vellfire daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan.”

Buletin TTKM mendapati kenderaan yang diperkatakan itu merupakan kenderaan Toyota Vellfire berwarna putih yang digunakan beliau, kini disebarkan semula di media sosial.

Video Vellfire terbabit:

Semalam selepas memberi keterangan di ibu Pejabat Polis Dang Wangi berikutan perhimpunan di luar bangunan parlimen 20 Jan lalu, Maszlee berucap menafikan tuduhan ke atasnya.

Beliau mendakwa pegawai SPRM menggunakan taktik intimidasi terhadap kakitangannya berkaitan pembabitannya dalam demonstrasi “Tangkap Azam Baki” serta “aktiviti pendidikan dan kebajikan kepada rakyat Simpang Renggam dengan mencari kesilapan kecil.”

Pada perkembangan yang sama, SPRM dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Maszlee kononnya pegawai SPRM melakukan intimidasi.

“SPRM telah menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen berkenaan dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

“SPRM ingin menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah mendapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.” kata kenyataan tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut SPRM setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemubual beberapa saksi terlibat sambil menegaskan SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat.

“Justeri itu, SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini” katanya.

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.