PKR perlu lawan Muda di Puteri Wangsa – Naib Ketua Wanita PKR

Naib ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Faizah Ariffin berkata parti itu perlu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini terutamanya Puteri Wangsa.

Tambahnya, cadangan ini adalah ini susulan kenyataan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memberi bayangan tentang kemungkinan berlaku pertindihan kerusi dengan PKR.

“Saya menyambut baik pandangan beliau dengan terbuka dan penuh semangat.

Ini adalah proses demokrasi biasa untuk memilih wakil rakyat, maka ianya terbuka untuk mana-mana parti politik untuk meletakkan calon terbaik dimana-mana kerusi yang difikirkan boleh menang. Parti Keadilan Rakyat sentiasa terbuka untuk berunding dan jika tiada sebarang keputusan dicapai, maka hormatilah keputusan tersebut. “

Menurutnya, tindakan MUDA adalah “seperti melepaskan dendam atas kegagalan rundingan tersebut untuk bertembung dengan calon Keadilan sahaja tetapi tidak dengan kerusi Warisan, Pejuang, BN atau PN.”

“Jika itu hasrat mereka, maka saya berpandangan untuk Keadilan juga perlu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh MUDA terutamanya Puteri Wangsa. ” jelasnya.

Katanya lagi, MUDA bukanlah gabungan Pakatan Harapan dan tiada masalah untuk bertemu sesama sendiri di gelanggang sebenar.

“Pesanan saya, jika mahu bersahabat maka kita terbuka. Jika mahu berlawan, ayuh kita ke gelanggang!” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dinaikkan di laman facebooknya.

Terdahulu, Syed Saddiq berkata bahawa Muda telah mengadakan beberapa siri rundingan rasmi bersama pimpinan PKR, namun pengumuman calon oleh PKR telah menamatkan rundingan rasmi bersama Muda.

“Sekiranya pertindihan kerusi antara Muda-PKR tidak dapat dielakkan, Muda akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor,” kata Syed Saddiq.

Muda telah mengumumkan setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon di DUN Puteri Wangsa yang terletak dalam parlimen Tebrau.

6 kerusi di mana Muda akan bertanding telah disepakati bersama dengan parti Amanah dan DAP iaitu di DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai supaya tiada pertindihan.

PKR telah menawarkan 3 kerusi untuk MUDA, namun tiada persepakatan setakat ini dicapai.

Sementara itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman mengingatkan MUDA supaya tidak mengugut PKR.

“MUDA tak perlu nak ugut kita. Kalau kau niat nak berlanggar, tak perlu kerjasama.” katanya di akaun facebooknya.

Pada perkembangan yang sama, Ketua Wanita Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Terengganu, Yuslaini Azmi mencadangkan supaya PKR melanggar Muda di Puteri Wangsa.

“Letak je calon di Puteri Wangsa. Langgar. ✌🏼” katanya pada hantaran facebook.

Pada PRU 14 lepas, DUN Puteri Wangsa dimenangi oleh calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Mazlan Bujang dengan majoriti besar 24, 959 dan dianggap kerusi selesa untuk Pakatan Harapan.

Bersatu kini merupakan komponen parti Perikatan Nasional manakala mantan adun, Mazlan Bujang telah mengumumkan keluar parti Bersatu pada 26 Januari lepas.

Beliau kemudian menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional.

“Keputusan ini saya buat berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil, kepimpinan yang diyakini dan juga berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir negeri Johor dengan baik,” katanya” -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.