BNM lulus pemindahan USD 1 bilion selepas sogok suami bekas gabenor BNM- Kata Leissner pada mahkamah AS

Kuala Lumpur 23 Feb: Bank Negara membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak USD1 bilion dari 1MDB ke PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok agar ia diluluskan, bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner beritahu mahkamah di AS.

Pemindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya.

Untuk makluman, Zeti Akhtar Aziz merupakan gabenor BNM ketika itu, dan suaminya Tawfiq Ayman.

Leissner, saksi penting dalam perbicaraan seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran USD1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.

Difahamkan USD1 bilion itu termasuk USD700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Dokumen transkrip mahkamah menyatakan Leissner pada Selasa memberitahu para juri mahkamah persekutuan AS, bahawa Ng memberitahunya apa yang didengarnya tentang kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka dapat tahu 1MDB membuat pemindahan itu.

“Malaysia pada 2009 masih mempunyai kawalan modal, yang mana pelaburan sebesar itu harus mendapat kelulusan Bank Negara,” katanya tentang wang keluar itu.

“Satu bilion dolar dihantar dari Malaysia ke usahasama itu, dan pemindahan itu boleh berlaku kerana suami kepada gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.

“Jadi dalam tempoh semalaman wang itu dipindahkan, sesuatu yang pada ketika itu tidak pernah berlaku dahulu. BNM tak pernah memberikan kelulusan sebegitu cepat,” katanya.

Pada November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana yang dikaitkan dengan 1MDB telah diperoleh dari Singapura dipegang oleh syarikat Cutting Edge Industries Ltd. yang dimiliki oleh Datuk Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara dan Samuel Goh.

Dalam satu kenyataan, SPRM turut menyatakan setakat ini ia berjaya mendapatkan semula aset dan dana berkaitan 1MDB, membabitkan nilai RM20.5 bilion.

 SPRM ini bercanggah dengan kenyataan yang dibuat Zeti pada Disember lepas.

Pada ketika itu, Zeti menafikan dirinya dan keluarga ada menerima sebarang dana dari 1MDB.

“Saya ingin ulangi bahawa keluarga dan diri saya tidak pernah menerima sebarang wang dari 1MDB. Tuduhan terhadap saya dan keluarga saya adalah palsu dan berniat jahat sepenuhnya” katanya.

Untuk rekod, pendedahan mengenai isu ini pertama kali menjadi perhatian apabila ia dilaporkan oleh akhbar The Edge Februari lepas.

Terjemahan laporan itu dibuat Buletin TTKM

Setakat ini, tiada komen dari Zeti mahupun Tawfiq mengenai perkembangan terbaru tersebut.

Pada 30 Januari lepas, FMT melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan kertas siasatannya mengenai hubung kait bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan 1MDB kepada Jabatan Peguam Negara.

Kata laporan itu, ia dimaklumkan bahawa kertas siasatan SPRM itu menyusul siasatan polis ke atas keluarga Zeti sebelum ini adalah berhubung dana yang dikaitkan kepada ahli perniagaan yang diburu polis Low Taek Jho atau Jho Low.

Hasil siasatan Bukit Aman itu diserahkan kepada Peguam Negara dua bulan lalu.

“(Semua) siasatan terhadap perkara ini akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk diserahkan kepada PDRM kerana PDRM telah menjalankan siasatan terhadap suami Zeti (Tawfiq Ayman),” kata sumber itu kepada FMT.

Menurut sumber itu, polis telah mengambil keterangan Tawfiq pada tahun lepas berhubung “penerimaan wang ke dalam akaun milik beliau di Singapura yang diperoleh hasil daripada terbitan (bon) RM5 bilion oleh Ambank pada tahun 2009.”

“Siasatan SPRM memberi tumpuan kepada pemulangan aset yang mana setakat ini telah berjaya memperoleh sebanyak AS$15.4 juta membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq,” katanya.

Walaubagaimanapun, tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap mereka setakat ini.

– Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.