“Mungkin ralat”: Calon Muda tak pernah sebut “jadi tulang belakang” animasi KeluangMan dan Anak2 Sidek.

Johor Bharu, 24 Feb: Calon Muda DUN Bukit Permai N50, Azrol Ab Rahani berkata beliau tak pernah menyebut dirinya adalah “antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man” seperti yang ditularkan.

Keratan laporan Sinar Harian.

Tambahnya, kemungkinan ada ralat ketika profilnya diumumkan dan berkata beliau ada terlibat dalam pembikinan animasi yang lain bertajuk Wise Mise dan bekerja sebagai animator di syarikat Makmur Megah yang menghasilkan animasi itu.

“Mungkin ada ralat waktu profil saya diumumkan. Cuma saya nak sebut, waktu kegemilangan animasi tempatan – saya adalah antara insan yg bertuah merasai pengalaman di dunia animasi, cuma bukan lagenda Anak-Anak Sidek dan Keluang Man lah. Saya sedar soal hak cipta ini perlu dipelihara baik.” jelasnya.

Kartun animasi Wise Mise.

Tambahnya lagi, beliau tiada niat untuk melafazkan atau melakukan perkara perkara yang mengguris hati rakan-rakan komuniti animasi tempatan.

“Untuk itu, saya mohon maaf atas perkara ini.Saya sedia ditegur. Kalau ada masa untuk bertemu, saya boleh bertemu kawan-kawan juga.” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman facebooknya.

Buletin TTKM mendapati dakwaan bahawa calon tersebut terlibat dalam animasi Keluangman dan Anak-anak Sidek dibuat oleh presiden Muda, Syed Saddiq sendiri ketika pengumuman calon Muda pada PRN Johor.

“Siapa sini tahu cerita Anak-anak Sidek, semua tahu? Keluangman? Dia merupakan salah seorang dalam team pasukan animasi bagi Anak-anak Sidek, Keluangman. Saya bangga untuk mengumumkan dirinya sebagai anak seni, dan calon Muda di Bukit Permai” kata Syed Saddiq.

Setakat ini Syed Saddiq masih belum membetulkan kenyataan tersebut.

Semalam, Persatuan Animasi Malaysia, ANIMAS menafikan artikel Sinar Harian yang melaporkan calon Muda N50 Bukit Permai, Azrol Hj. Rahani, 41 tahun adalah antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man.

Dalam satu kenyataan, ANIMAS memetik Azhar Saad yang lebih dikenali sebagai Art Saad, pelukis papan cerita Keluang Man dan Pelantun Suara Tiong Man sebagai berkata kelibat calon Muda tersebut tidak pernah dilihat di studionya.

“Jangankan tulang, sisa pun kami tak pernah nampak kelibat beliau di studio kami” kata Azhar Saad.

Pengerusi Animas, Amir Hamzah Hashim atau lebih dikenali sebagai Ibnukaduk Amier yang dihubungi Buletin TTKM berkata sejak malam tadi beliau dihubungi oleh rakan-rakan animasi yang memohon dakwaan itu disahkan.

“Sehingga setakat ini, kami masih belum menjumpai kesahihan kenyataan beliau.” kata Amir.

Amir yang juga pengasas studio animasi Keluang Man dan bekerja sehingga studio ditutup pada tahun 2001 turut berkata tidak mengenali calon Muda itu.

“Team produksi ke dua pula ditubuhkan pada 2001-2003 juga tidak ada penglibatan beliau. Team Anak-Anak Sidek juga gagal menjumpai identiti beliau.”

“Kami tidak pasti, bagaimana kenyataan mengenai tulang belakang produksi itu dijadikan modal politik beliau.” tambahnya. -Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: