“Mahathir yang tak nak tutup Lynas!”- Fuziah dedah di dewan rakyat.

Dewan Rakyat, 10 Mac: Ahli parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh mendedahkan kilang Lynas tidak ditutup ketika pemerintahan Pakatan Harapan kerana ia adalah keputusan Tun Dr Mahathir, perdana menteri ketika itu.

“Saya nak beritahu dewan yang mulia ini pada hari ini, sewaktu PH jadi kerajaan dulu, YB Langkawi (Tun Dr Mahathir) memang tak nak tutup Lynas! Dia tak ada di sini, kalau tak dia boleh jawab kenapa dia tak nak tutup Lynas. “

Tambahnya lagi, ketika itu, beliau tiada dalam mesyuarat kabinet. Untuk rekod, mesyuarat kabinet hanya dihadiri oleh perdana menteri dan menteri penuh, Fuziah merupakan timbalan menteri tetapi tetap menyatakan pendiriannya di luar.

“Saya tak boleh nak bahas ( dalam kabinet). Tapi memang Langkawi tak nak tutup Lynas dan rakyat marah , mungkin juga kerana Langkawi tidak bersama-sama dengan kami dan saya serta mereka-mereka yang sama-sama memperjuangkan kenapa kita tidak boleh ada Lynas di Kuantan”

Katanya lagi, ketika ini masih ada 1 juta metrik tan sisa radioktif Lynas yang berada di sebelah kilang Lynas dekat Gebeng dan generasi masa depan terpaksa menerima kesilapan mengurus sisa radioaktif tersebut.

“Saya tak faham kenapa kita sanggup langgar undang-undang dan menutup mata, dan jawab soalan dengan cara main-main!” katanya lagi.

Beliau turut mengkritik menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia yang memberikan kelulusan EIA untuk projek tersebut.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan titah diraja sebentar tadi ketika mengulas jawapan bertulis dari menteri perumahan dan kerajaan tempatan pada 8 Mac 2022 kepada soalan beliau berkenaan status pusat pelupusan kekal (PDF) sisa Lynas sama ada sudah mendapat kelulusan pelan Malaysia.

Memetik jawapan menteri, Fuziah berkata kelulusan sudah diberikan kepada kilang tersebut pada 12 Januari 2022 walaupun kajian mengenainya bermula pada 13 September 2021 sehingga 11 Mac 2022.

“Kajian itu akan berakhir esok. Belum habis lagi kajian ini, belum habis lagi dipamerkan kepada awam, tapi menteri jawab dah lulus bulan Januari. Ini apa punya jawapan ni menteri? Tak patut dibayar gaji menteri yang buat kerja macam ni!” katanya kesal.

Pada Ogos 2019 ketika menjadi perdana menteri, Tun Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh ‘menghalau’ Lynas setelah menjemput syarikat perlombongan nadir bumi itu melabur di negara ini hanya kerana terdapat pihak yang tidak mahu menerima kajian pakar.

Beliau berkata Lynas telah melabur lebih RM1 bilion untuk operasinya di Malaysia, cuma proses perlombongan nadir bumi itu dikatakan mempunyai radioaktif pada sisanya.

Katanya kajian pakar melaporkan sisa radioaktif ‘pada tahap sangat rendah’ dan tidak berbahaya kepada kesihatan dan beliau berpendapat terdapat juga cara untuk mengurangkan lagi ‘radioaktif yang sikit itu’.

“Kita yang panggil (datang melabur) lepas tu kita halau dia keluar.Orang lain kata negara buat janji, bila buat masalah dia halau pelabur… tak boleh macam tu,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Fukuoka.

Dr Mahathir berkata pelabur asing langsung sedang memerhatikan tindakan kerajaan terhadap Lynas.

“Kalau kita halau pelabur asing Lynas ini, yang lain (pelabur asing) tak akan datang (Malaysia). Sebab ada yang kita tak suka…maka kita suruh dia (pelabur) keluar. Siapa (pelabur) nak datang, mereka perlukan kepastian,” kata Tun Dr Mahathir.

Fuziah Salleh menentang keras projek Lynas sejak 10 tahun lalu. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.