PH gagal di Johor: “PH perlu perkasakan semula tentera siber” – YB Faiz Fadzil

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz bin Dato’ Haji Fadzil berkata Pakatan Harapan perlu perkasakan semula tentera sibernya yang terbukti banyak membantu dalam kemenangan PRU-14 lalu.

Katanya, kelemahan penguasaan media sosial di kalangan parti-parti PH semakin ketara yang menyebabkan mesej kempen tidak sampai kepada pengundi pada pilihanraya negeri Johor baru-baru ini.

Pada pilihanraya negeri Johor Sabtu lepas, Amanah bertanding menggunakan tiket Pakatan Harapan dan hanya mampu meraih satu kerusi DUN di Simpang Jeram.

Secara keseluruhannya, Pakatan Harapan bersama sekutunya Muda mendapat 13 kerusi. DAP mendapat 10 kerusi, manakala MUDA, PKR dan Amanah masing-masing 1 kerusi.

Barisan Nasional pula memperoleh majoriti melebihi 2/3 dengan 40 kerusi.

Selain faktor tersebut, Faiz Fadzil turut menggariskan faktor-faktor lain yang perlu dinilai secara serius dan diambil langkah pembaikan, iaitu:

1. Perpecahan pembangkang. Perpecahan undi dalam kalangan pembangkang telah mengakibatkan BN selesa memenangi PRN ini. Undi pembangkang terutama undi Melayu terbahagi-bahagi kepada beberapa parti pembangkang yang bertembung terutama PH-PN.

Kemenangan PH dalam PRU-14 lalu kerana penyatuan semua parti pembangkang dengan wujudnya sebuah parti teras Melayu. Formula ini perlu digunakan sekali lagi.

2. Isu kempen yang tidak berkesan. BN membawa isu kestabilan sebagai isu teras dalam PRN ini. Apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’, rakyat melihat kepada perlunya sebuah kerajaan yang stabil. Pembangkang terutama PH gagal membawa mesej kestabilan, malah gagal menunjukkan kekuatan ini.

3. PH gagal membawa isu ekonomi/perut rakyat secara serius. Terlalu bergantung kepada isu rasuah kurang memberi kesan kerana PH gagal mengawal naratif kestabilan yang dibawa oleh BN dan pengundi Johor tidak lagi melihat isu rasuah merupakan isu utama.

Bukannya rakyat Johor tidak memahami isu rasuah, cuma mood kali ini mahukan sebuah kerajaan yang boleh menjamin kehidupan terutama kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

4. Imej perpaduan pembangkang yang longgar. Pengundi melihat imej perpaduan yang longgar memberikan kesan kepada kestabilan.

Jika isu logo sendiri gagal diselesaikan di peringkat awal, ini membawa tanggapan kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti sukar bertahan lama.

Formula melawan satu musuh perlu dikenal pasti dahulu, disusuli satu logo, satu manifesto dan satu suara.

5. Kelemahan mobilisasi pengundi luar untuk pulang. Kelemahan PH menyakinkan pengundi luar pulang memberikan kesan. Walaupun ada usaha, tetapi tidak cukup terutamanya pengundi yang tinggal di Singapura.

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.