Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi mengumumkan persetujuan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran khas RM10,000 lagi daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Katanya, berdasarkan dapatan, kajian dan penelitian secara menyeluruh, dalam fasa pemulihan pandemik, masih ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk pengeluaran caruman KWSP.
“Justeru, pada hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” .
Menurutnya, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP ini akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan,” katanya.
Namun , beliau merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar terdesak.
“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas sebentar tadi di Putrajaya.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang berjumlah RM101 bilion. Ia melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu. -Buletin TTKM-
Video: