Kongsi ‘teaser’ adegan ghairah: Zul Ariffin disiasat bawah akta SKMM

Menteri komunikasi dan multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan Zul Ariffin akan disiasat bawah seksyen 233 akta komunikasi dan multimedia kerana menaikkan satu video kontroversi di akaun instagramnya.

“Proses undang-undang berjalan. Pelakon Zul Arifin akan di siasat di bawah seksyen 233 Akta KMM kerana posting Instagram yang menyalahi undang-undang.

Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenarkan tayang, sama ada bulan ramadhan atau bulan yang lain. Jagalah nilai dan budaya.” kata Annuar Musa di akaun twitternya.

Video tersebut yang sudah dipadamkan pelakon terbabit berdurasi 22 saat menunjukkan adegan di mana pelakon terbabit ditolak ke dinding oleh pelakon wanita Siti Hariesa.

Zul kemudian dilihat membuka bajunya lalu memeluk wanita tersebut.

Adegan itu diselangi dengan klip lain di mana Siti Hariesa yang berpakaian seperti pembantu rumah, menyuapkan krim putar ke mulut Zul lalu mengangkatnya, sambil Siti memeluk pinggang Zul menggunakan kedua belah kakinya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Idris Ahmad menyifatkan perkara tersebut sebagai melampaui batas yang perlu ditegur.

“Hiburan tidak dihalang dalam Islam. Namun tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat” katanya.

Berikutan kritikan pelbagai pihak, Zul Arifin telah tampil memohon maaf.

“Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua respons dari banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini. Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan. Selepas ini saya akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepada saya untuk dipromosikan di media sosial” katanya.

TV3 dalam satu kenyataan berkata adegan yang tular itu sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi, mendakwa adegan tersebut tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pengisian drama-drama tempatan perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem”

“TV3 ingin mengingatkan semua pihak yang meliputi produksi dan para pelakon supaya menjadi lebih peka kepada tindak-tanduk yang dilakukan serta menjaga sensitiviti agama dan masyarakat terutamanya dalam menjayakan mana-mana karya” kata kenyataan tersebut.

Adegan terbabit dari drama bertajuk “Perempuan itu” berjumlah 30 episod sepatutnya dijadualkan menemui penonton di TV3 pada bulan Ramadhan, 4 April ini.-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.